Dalam
kajian kami kali ini, kami di bawa oleh Encik Muhajir ke setiap destinasi yang
telah di rancang. Bersyukur juga kerana ada yang dapat menolong kami di sini.
Siapa sangka, rupa-rupanya Encik Muhajir ini adalah seorang pensyarah di
Universitas Islam Ar-Raniry (UIN). Beliau juga merupakan generasi ke-9 Zawiyah
Tanoh Abee yang merupakan tempat paling suci dan menyimpan jutaan manuskrip
lama di sana. Menurut beliau juga Zawiyah Tanoh Abee adalah Perpustakaan kuno
yang paling lama di Asia. Kini Encik Muhajir lebih dikenali dengan nama Muhajir
Al-Fairusy.
Selain
itu, beliau juga telah menerbitkan beberapa buah buku antaranya buku tentang
Dayoh Tanoh Abee. Beliau juga menjadi juruedit di tempat ayah bekerja.
Pertemuan pertama kami dengan Encik Muhajir
“Wahhhhh..Hebat juga Encik Muhajir
ni. Bukan calang-calang orang.” Bisik hati aku.
Aku
tak dapat bayangkan yang membawa kami pusing keliling Banda Aceh ini adalah
seorang pensyarah. Agak-agak pensyarah di Malaysia ada yang macam ini tak?
Encik Muhajir menceritakan kepada kami Sejarah Kegemilangan Islam di Banda Aceh ketika zaman Sultan Iskandar Muda.
Dalam
kajian tentang Sultan Iskandar Muda, atau lebih dikenali sebagai Sultan Iskandar Meukuta Alam merupakan
pemerintah yang dikenali dengan ketegasannya serta kehebatannya dalam
menjalankan hukum-hukum Islam walaupun terhadap anggota keluarga baginda
sendiri. Maklumat yang diperoleh daripada Ayah menyatakan bahawa Baginda juga
masyhur dengan nama Peurkasa Alam kerana keberanian yang dimiliki oleh
baginda dalam menegakkan kebenaran dan gelaran ini diberikan oleh
sahabat-sahabat baginda ketika baginda dewasa.
Masa kecil baginda lebih banyak dihabiskan dalam
lingkungan istana dan baginda masyhur dengan nama Raja Zainal atau Raja
Silan manakala semasa bayi baginda sering disebut Tun Pangkat Darma
Wangsa, (Zainuddin: 1957, 21). Sultan Iskandar Muda diputerakan pada tahun 1953
di Banda Aceh. Baginda memerintah selama 29 tahun dan telah menempa
pelbagai kejayaan dalam perluasan kuasa dan hubungan antarabangsa.
Temuramah bersama ayah berlanjutan sehingga ke salasilah
Sultan Iskandar Muda.
“Sultan
Iskandar Muda dilahirkan pada tahun 1593 di Aceh dan wafat pada tanggal 27
Disember 1636. Baginda berasal daripada keturunan Raja Darul-Kamal
bagi sebelah ibundanya dan Raja Mahkota Alam daripada sebelah
ayahandanya. Ibunda baginda bernama Puteri
Raja Indra Bangsa atau lebih masyhur dengan nama Paduka Syah Alam
manakala ayahanda baginda bernama Sultan Mansur Syah cucu kepada Sultan
Alauddin Riayat Shah Al-Qahhar. Sultan Alauddin Riayat Shah Al-Qahhar merupakan
salah seorang pemerintah yang tegas dalam melaksanakan perintah Allah walaupun
terhadap anggota keluarganya sendiri. Makam Sultan Iskandar Muda terletak di Kompleks
Kandang Mas tetapi dihancurkan oleh Belanda dan makam sekarang hanyalah
duplikat hasil petunjuk Pocut Meurah, isteri kepada Sultan Mahmudsyah
yang sering berziarah ke makam Sultan Iskandar Muda ini.” Terang ayah dengan panjang lebar.
Loceng yang dihadiahkan oleh Cheng Ho untuk Sultan Iskandar Muda yang masih terdapat di Muzium Aceh.
Makam Sultan Iskandar Muda
Maklumat yang kami peroleh menceritakan bahawa Sultan
Iskandar Muda lebih banyak meluangkan masa di dalam istana di mana pendidikan
baginda sangat di titik beratkan agar mendapat pendidikan yang sempurna dan
yang terbaik. Sejak usia antara 4-5 tahun baginda telah diajarkan berbagai ilmu
pengetahuan. Ketika usianya mencapai baligh, ayahandanya menyerahkannya kepada Teungku
Di Bitai (ulama turunan Arab dari Baitul Mukadis) dan diberi gelar Tun
Pangkat Peurkasa Syah (Zainuddin, 1957: 27) agar menerima ilmu dengan
sempurna.
Kemudian baginda menerima pendidikan daripada ulama-ulama
dari Mekah antaranya Syekh Abdul Khair Ibnu Hajar dan Sekh Muhammad
Jamani yang merupakan ahli dalam bidang ilmu fiqh, tasawuf dan ilmu falak.
Seterusnya baginda menerima pendidikan daripada seorang ulama yang masyhur
berasal dari Gujarat iaitu Syeikh Muhammad Djailani bin Hassan
Ar-Raniry. Ketiga-tiga ulama ini mempunyai jasa yang sangat besar terhadap
pendidikan Sultan Iskandar Muda selain mempengaruhi cara pemikiran baginda.
Berdasarkan kajian yang telah dijalankan di Banda Aceh,
pada tahun 881H, Sultan Salahuddin Syamsu Syah Meukuta Alam telah
mengisytiharkan bahawa Aceh adalah kerajaan Islam iaitu sebuah negara yang
menegakkan Islam. Hukum syar’ie merupakan tanda aras bagi segala adat yang
diberi kebenaran untuk dilaksanakan di Aceh. Segala adat, seni dan budaya
masyarakat Aceh harus disesuaikan dengan
syariat Islam. Adat-adat masyarakat Aceh yang seiring dengan hukum syar’ie
dikekalkan tetapi bagi adat yang tidak mengikut syar’ie Islam wajib diubah
menjadi selari dengan yang dibenarkan syar’ie.
Kesemua Kerajaan Kesultanan Aceh disatukan oleh Sultan
Johan Ali Ibrahim Mughayat Shah atau Sultan Ali Mughayat Shah menjadi
kerajaan Aceh Darussalam pada tahun 913H iaitu Kesultanan Islam Peureulak,
Kesultanan Islam Samudera Pase, Kerajaan Islam Meukuta Alam Banda Aceh atau
Kerajaan Islam Linge, Kesultanan Islam Pidie, Kerajaan Darul Imarah Darul Kamal,
Kerajaan Islam Banua Tamiang dan Kerajaan Islam Jaya. Madinatul Sultan Banda
Aceh (sekarang Banda Aceh) merupakan pusat pentadbiran kerajaan Aceh
Darussalam. Sultan Mughayat Shah putera
Sultan Salahuddin Syamsu Shah Meukuta Alam (881H) diangkat menjadi Putera
Mahkota merangkap Panglima Perang Islam dan baginda juga merupakan ahli
strategi.
Sultan
Alauddin Riayatshah Al-Kahar (datuk Sultan Iskandar Muda dari pihak ibunya)
beliau mengundang 70 ulama untuk menyusun sebuah Qanun Pemerintahan Islam di
Aceh yang disebut Qanun Syara’ Al-Asyi. Beliau memperkuat angkatan laut, darat
dan mengalahkan angkatan laut Portugis yang datang menyerang Aceh dan beliau
memperoleh kemenangan.
Salasilah keluarga Sultan
Iskandar Muda
Puteri Gayo merupakan salah seorang isteri kepada baginda Sultan Iskandar Muda. Hasil
daripada perkahwinan, baginda dikurniakan seorang putera yang lebih masyhur
dengan nama Meurah Pupok. Dalam bahasa Gayo, “Meurah” bermaksud marah dan gaya
kalimah ini diguna pakai bagi gelaran Raja-Raja Aceh sebelum kedatangan Islam.
Seterusnya,
baginda juga telah menikahi seorang puteri yang berasal dari Ribee, Pidee, Aceh
yang dikenali sebagai Puteri Thani. Hasil daripada perkahwinan ini
mereka dikurniakan seorang puteri yang akhirnya menjadi salah seorang Sultanah
Aceh iaitu Sultanah Sri Ratu Safiatuddin Tajul Alam. Sultanah
Safiatuddin telah berkahwin dengan seorang anak kepada Sultan Ahmad Syah
daripada Kesultanan Pahang, Tanah Melayu, yang diberi nama Sultan Iskandar
Thani II.
Putroe Phang atau Puteri Pahang juga merupakan salah seorang isteri kepada Sultan
Iskandar Muda yang dikenali ramai kerana mendalamnya cinta dan kasih sultan
kepada Puteri Pahang ini. Putroe Phang ini berasal daripada Kesultanan Pahang
dan ada yang mengatakan bahawa puteri ini merupakan adik kepada Sultan Ahmad
Syah, Pahang. Nama sebenar puteri ini adalah Puteri Kamaliah. Bukti cinta
baginda Sultan Iskandar Muda dapat dilihat pada pembinaan Gunongan. Gunongan
ini dibina untuk merawat kesedihan puteri yang terlalu rindukan kampung
halamannya yang berbukit-bukau.
Menurut
sumber daripada Drs. Tgk. H.A. Rahman Kaoy, Sultan Iskandar Muda mempunyai
empat orang isteri. Isterinya yang pertama bernama Puteri Thani Ratna ,
iaitu anak kepada Tgk Syeikh Mohd Amin Rebey atau nama sebenarnya Daeng
Mansor (Makassar). Hasil perkahwinan tersebut maka lahirlah Meurah
Pupok dan Sultanah Sri Maharaja Puteri Sri atau lebih dikenali
sebagai Ratu Safiatuddin Syah Tajul Alam. Seterusnya, isteri kedua beliau ialah Puteri Pahang atau
lebih dikenali di Aceh sebagai Putroe Phang. Sekembalinya Sultan
Iskandar Muda ke Aceh setelah menikahi Putroe Phang, beliau juga telah
mengambil Sultan Iskandar Thani sebagai anak angkatnya. Sultan Iskandar
Thani merupakan anak kepada Sultan Ahmad Syah, iaitu Sultan Perak. Hasil perkahwinan beliau dengan isteri ketiga
,Puteri Asiah mereka
dianugerahkan dengan dua cahaya mata, Malik Abd Jalil dan Raja
Asahan ,Tg Baley (raja di Asahan).
Puteri Gayo pula isteri baginda sultan yang ke empat dan tidak
dikurniakan cahaya mata.
Sultan Iskandar Muda menaiki takhta pada awal April tahun
1607 M (keterangan Bustanus Salatin). Baginda telah melaksanakan pelbagai usaha
dan tindakan dalam mengekalkan kekuasaannya. Antara usaha yang dilaksanakan
adalah dengan membentuk angkatan perang yang terdiri daripada tenaga-tenaga
muda yang sentiasa memberi sokongan yang luar biasa dan melaksanakan penataan
pemerintah melalui pembahagian wilayah yang disebut mukim dan membuat Peraturan
Perekonomian Negara. Lembaga Negara juga ditubuhkan semasa pemerintahan baginda
bagi membantu menyelesaikan masalah-masalah ekonomi dengan lebih efisien.
Semasa pemerintahan Sultan Iskandar Muda, ekonomi kerajaan Aceh menjadi lebih
kukuh dan stabil dengan produk-produk hasil bumi seperti emas dan lada yang
menjadi rebutan orang-orang Eropah.
Sultan
Iskandar Muda merupakan seorang pemerintah yang sangat tegas dalam melaksanakan
hukum-hukum agama. Oleh sebab ketegasan baginda, berlaku banyak pemberontakan
selepas mangkatnya baginda. Antara bukti yang dapat dilihat bagi membuktikan
ketegasan baginda adalah melalui peristiwa Meurah Pupok iaitu anak baginda yang
telah dijatuhkan hukuman hudud oleh baginda sendiri di atas kesalahan berzina
dengan isteri salah seorang pengawal istana. Pelbagai usaha dan cadangan yang
telah diberikan oleh pihak istana kepada Sultan Iskandar Muda bagi meringankan
hukumannya tetapi baginda tetap melaksanakan hukuman hudud tersebut. “Mate
Aneuk Meupat Jirat, Gadoh Adat Pat Tamita” merupakan ungkapan yang
terpahat di makam allahyarham Meurah Pupok yang bermaksud “Mati Anak
Boleh Dicari Kuburnya, Tetapi Mati Adat Di mana Lagi Mahu Dicari”.
Kata-kata ini sangat masyhur di mana perkataan “adat” bermaksud adat-adat Islam
yang dihidupkan di bumi Aceh Darussalam.
Dari
segi hubungan dengan kerajaan-kerajaan luar, sultan telah menjalinkan hubungan
diplomasi perdagangan dengan China dan Turki sehingga Aceh menjadi sebuah
kerajaan yang makmur. Antara bukti yang dapat dilihat hubungan erat antara Aceh
dan China adalah melalui kehadiran kapal-kapal China di Aceh yang menjadikan
Aceh sebagai pelabuhan masuk rempah ratus. Selain itu, Loceng Cakra Donya
yang dihadiahkan oleh Kaisar Cina juga menjadi bukti hubungan erat antara Aceh
dan China. Hubungan antara kerajaan Aceh dan Turki dapat dibuktikan melalui
surat yang ditulis oleh Kadi Malikul Adil Syekh Nuruddin Ar-Raniry
kepada kerajaan Turki yang disampaikan oleh utusan rombongan Aceh yang
dikepalai oleh Panglima Nyak Dum.
Kepimpinan
Sultan Iskandar Muda dikagumi dan diakui kehebatannya bukan sahaja oleh
rakyatnya malahan diakui sendiri oleh musuh-musuhnya dan bangsa asing di
seluruh dunia. Pemerintahan baginda yang sistematik, teratur serta hubungan
baik antara sultan dengan rakyat menjadi faktor mustahak yang menjadikan
Kerajaan Aceh menjadi sebuah kerajaan yang agung dan digeruni oleh musuh-musuh
Islam serta diangkat menjadi salah satu kerajaan Islam terbesar di dunia.
Melalui
kajian menjejaki sejarah kegemilangan Islam di Banda Aceh yang telah
dilaksanakan baru-baru ini, Sultan Iskandar Muda merupakan Sultan kepada Aceh
Darussalam yang ke 37. Beliau memerintah Aceh Darussalam dari tahun 1607M
hingga 1636M. Beliau merupakan negarawan terkenal yang membawa Aceh ke puncak
kejayaan Islam juga telah membuat Qanun Meukuta Alam menjadi Undang-Undang dan
Pedoman para pemimpin dan rakyat Aceh Darussalam.
Bagi
Qanun Syarak Al-Asyi yang telah ditulis dan disiapkan pada masa Sultan Alauddin
Riayatshah kemudian disempurnakan oleh Sultan Iskandar Muda sekitar tahun
1016H-1608M telah menjadi qanun Meukuta Alam. Dua Qanun bersejarah inilah
menjadikan Aceh antara 5 negara Islam terbesar di dunia. Semboyang yang
terkenalnya adalah “Aceh Darussalam adalah negeri hukum yang mutlak sah, dan
rakyat bukanlah patung yang berdiri ditengah pedang, akan tetapi rakyat seperti
pedang sembilan mata lagi besar matanya, yang amat tajam, lagi panjang ke timur
dan ke barat”.
Setelah mendapat maklumat tentang Sultan Iskandar Muda,
kami segera mengumpulkan segala bukti yang dapat dibuat rujukan untuk di bawa
pulang ke Malaysia. Sebelum terjadinya Thunami besar yang melanda Aceh pada
tahun 2004, segala bahan sejarah masih tersimpan di tanah Aceh. Maka, bahan
yang kami dapat untuk kali ini mungkin tidak selengkap yang terdapat di Banda
Aceh itu sendiri. Banyak bahan-bahan sejarah, manuskrip-manuskrip, kitab-kitab
Melayu lama yang di bawa arus Thunami ketika itu. Ramai yang terkesan dengan
peristiwa tersebut dan apabila kami menyoal beberapa soalan tentang bahan
sejarah, mereka lebih merujuk kepada Thunami yang melanda di bumi Aceh. Kami menyimpulkan
yang sejarah berlakunya Thunami lebih memberi kesan daripada sejarah Sultan
Iskandar Muda itu sendiri kerana peristiwa itu masih baru bagi mereka.