salam sayang dan rindu dari saya

Monday 5 September 2016

DG Tembila - 4) Juadah Berbuka Puasa


Matahari mula mengundurkan diri tatkala aku bersama sahabatku, Khadijah selesai menemu ramah Pak Fikri Maxalmina, tuan bilik  Crystal Rental Guesthouse. Sementara itu, kelihatan sudah ramai yang membuka gerai jualan di hadapan guesthouse tersebut. Kata Pak Fikri, setiap kali tiba bulan puasa, ramai yang akan menjual kueh - mueh dan pelbagai juadah di sepanjang jalan ini. Aku mengambil peluang yang ada dengan melihat semua juadah yang dijual disepanjang jalan. 

Kelihatan peniaga mula membuka gerai juadah berbuka puasa di sepanjang jalan di hadapan tempat penginapan kami.


Memandangkan gerai jualan dibuka berhadapan dengan tempat kami menginap, aku mengambil masa yang ada untuk mengenali nama-nama makanan di Banda Aceh. Juadah berbuka puasa pertama aku di sana adalah nasi campur. Orang-orang di sana memanggilnya nasi campur kerana nasi putih bercampur dengan lauk pauk serta sayur yang dibungkus di dalam daun pisang. Sekali pandang macam nasi lemak Malaysia pula.

Khadijah sedang memilih lauk kegemarannya. 

Nasi campur. Juadah berbuka puasa kami yang pertama di Banda Aceh.

Pada hari kedua berbuka pula, aku dan Khadijah berbuka di rumah bersama Ibu dan Ayah. Alangkah terkejutnya aku apabila semua juadah yang ada di atas meja, disediakan oleh Ibu. Kami cuba membantu ibu tetapi di larang keras kerana beliau tidak membenarkan tetamu membuat sebarang persediaan. Kata Ibu, juadah yang disediakan ini ada juga yang diberikan oleh jiran tetangga. Penuh satu meja makan tersebut hanya dengan juadah berbuka. Ada makanan  yang aku kenal dan ada juga yang baru aku kenal.


Antara juadah berbuka yang disediakan Ibu untuk kami berdua. Jangan tanya kenapa aku tak kurus. Orang bagi makan, kita kena makan kan?hehe

Ada satu juadah yang menarik perhatian aku ketika itu. Pada pandangan pertama, aku lihat seperti keropok lekor. Alangkah berseleranya aku ketika itu walaupun hanya melihat sahaja kerana belum waktu berbuka. Tiba waktu berbuka, aku mencapai juadah yang berdekatan dengan aku dahulu. Apalagi, kurma dululah jawabnya, kemudian air kosong. Kulihat sahabatku itu makan dengan berselera sekali. Agaknya dia sudah biasa dengan masakan Aceh. Khadijah telah mencapai keropok lekor yang aku idam-idamkan dari tadi lagi. Tengok cara dia tarik keropok itu macam liat sahaja. Aku pula baru cuba-cuba untuk mencapai keropok yang berada di hadapan Khadijah.

“Itu keropok kulit kebo. Pernah makan?” Ayah bersuara.

“Keropok apa?” Aku bertanya semula untuk mendapatkan kepastian.

“Keropok kulit kebo.” Ulang Ayah sekali lagi.

“Keropok kulit kerbau Kak Mun.” Khadijah membetulkan semula kepada aku.

“Kulit kerbau? Kulit? Bukan isi daging kerbau tu ka?” Tanya aku dengan penuh kehairanan.

“Yelah Kak. Kulit kerbau lah.” Khadijah mengulanginya sekali lagi.

Dah disebabkan tangan aku telah mencapai keropok tersebut, aku ambil juga dan letak di bahagian tepi pinggan. Kemudian aku cari trick sikit untuk letak ke dalam pinggan Khadijah. Perkataan kulit kerbau itu membuatkan selera aku tiba-tiba terbang melayang. Bukan sebab tak sedap, tapi tak terbayang dek kepala aku kulit kerbau boleh buat keropok. Manalah aku pernah makan benda-benda yang pelik ni. Tekak terasa mual. Aku segera mencapai minuman di sebelah aku.

Selesai makan, aku masuk semula ke bilik bersama Khadijah. Aku masih dibayangi dengan kulit kerbau yang ada di Malaysia. Kulit?

“Dijah, keropok kulit kerbau tu memang buat daripada kulit semata-mata ka?” Aku bertanya kepada Khadijah lagi.

“Memang nama pun kulit kak, tak kan perut kerbau pula.” Khadijah berseloroh.

“Bukan apa, akak tak leh bayang la macam mana depa buat dari kulit tu.” Aku masih dalam dilema.

“Alah Kak Mun, depa cuci bersih dah la. Tu yang boleh buat tu. Macam keropok lekor kita la.” Khadijah masih berbasa-basi.

“Dalam banyak-banyak bahagian kerbau tu, kenapa kulit yang di ambil? Kulit kerbau boleh makan ke?” Aku bertanya lagi.

“Dah depa buat, boleh makan la tu. Depa tak mau membazir la tu kak. Akak patutnya rasa tadi.” Kata Khadijah kepada aku.

“Haha!!! Dengar kulit kerbau tu pun akak dah rasa mual. Kang kalau makan, tak tau lah jadi apa. Kalau Malaysia buat macam ni mesti habis semua kulit kerbau.” Tiba-tiba terbayang aku kerbau berjalan tanpa kulit dibadan. Mesti kelakar. Aku masih ketawa kecil. Khadijah meninggalkan aku yang masih dalam keadaan tanda tanya itu bersendirian sementara dia mengambil wuduk.

Selepas aku menjamakkan solat Magrib dan Isyak, kami segera mengikuti Ayah untuk ke Masjid berdekatan. Kata Ayah, ibu tak berapa sihat. Jadi hanya kami yang mengikut ayah. Pada malam itu Ayah dijemput untuk menyampaikan tazkirah sebelum tibanya fardhu Isyak. Aku cuba memahami apa yang Ayah sampaikan. Malangnya hanya beberapa perkataan sahaja yang Aku faham. Aku memandang Khadijah dengan 1001 persoalan. Khadijah hanya tersenyum.

“ Tu bahasa Aceh kak Mun. Kita memang tak faham.” Khadijah merungkai persoalan yang bersarang dikepala aku.

“Owh, patutlah tak faham. Ingatkan akk dah hilang sense tadi.” Aku berseloroh sambil ketawa kecil..

Semua yang hadir melihat kami dengan penuh tanda tanya. Ingat nak jadi orang normal tadi. Rupanya jemaah di situ perasan yang kami ini orang asing. Mungkin juga pertama kali lihat orang Malaysia solat di situ.

Juadah berbuka untuk hari yang seterusnya lagi menarik. Ramai jiran yang bertukar juadah bersama ibu. Ada yang datang dan terus masuk ke dalam rumah.

“Ibu Elbi ada?” Tanya seorang jiran kepada aku.

“Ada. Ibu di dapur. Sebentar ya, saya panggilkan Ibu.” Aku segera ke dapur dan memanggil Ibu.

Aku tinggalkan mereka berdua berborak. Kalau aku berada di situ juga, memang aku akan jadi blur sebab tak faham bahasa Aceh.

“Inilah yang dikatakan tak faham bahasa.” Aku berkata sendirian sambil tersenyum.

Apabila tiba waktu berbuka, memang meja makan tersebut penuh dan padat dengan makanan. Semua nama makanan yang dihidangkan akan diberitahu Ayah kepada kami. Kata Ayah, Ibu kurang dengar setelah membuat pembedahan suatu ketika dahulu. Jadinya, segala soalan yang ditanya oleh kami akan dijawab oleh Ayah.
Engkut paies.

Lontong

Gado-gado

Kueh bakwan

Nagasari.

Jus woltel

sirap timun

Jus Jambu Kelutup

Cendol


“Ini namanya engkut paies. Ini lontong, gado-gado, kueh bakwan, tempe, tauhu isi, nagasari, bubur, dan mee kocok.” Ayah memberitahu semua nama makanan yang dihidangkan kepada kami.

“Ini pula cendol, jus wortel, sirap timun, jus jambu kelutup, dan ieu.” Giliran Ibu pula menerangkan nama minuman kepada kami.

Aku dan Khadijah hanya mengangguk sambil tersenyum. Kalau di Malaysia, engkut paies lebih dikenali dengan nama ikan panggang. Nampak pun macam sedap. Bulan puasa, semuanya nampak sedap di mata. Belum rasa lagi. Jus wortel pula lebih dikenali dengan nama jus karot. Jus jambu kelutup dikenali dengan nama jus jambu batu, manakala jep ieu pula lebih dikenali dengan nama air kelapa muda. Ada sebahagian nama yang sama sahaja dengan panggilan di Malaysia. Ada juadah yang aku tahu dan ada juga yang pertama kali aku tengok. Antara juadah yang aku kenal adalah asam pedas, udang goreng , sirap campur air kelapa dan banyak lagi. Juadah yang paling aku kenal adalah cendol. Di Aceh juga dipanggil cendol.

Aku mengenali nama-nama makanan dan kueh mueh hanya dengan berbuka di rumah. Hanya sekali sahaja kami berbuka di luar bersama Encik Muhajir. Hari-hari seterusnya, hanya berbuka di rumah. Mana tidaknya, Ibu dan Ayah kerap kali berpesan kepada kami supaya lekas pulang jika telah siap kajian dibuat. Mereka lebih suka kami berbuka di rumah daripada makan di luar. Kami bersyukur di atas keprihatinan Ibu dan Ayah sepanjang kami menjadi tetamu mereka di sana. Kata Ibu, anggap sahaja seperti keluarga sendiri.

“Apa yang ada kita makan sahaja, kita kena bersyukur dengan rezeki yang Tuhan bagi.” Kata Ayah pada suatu petang kepada kami.

Aku hanya mengangguk tanda faham dan berterima kasih atas layanan mereka kepada kami. Memang lebih dari yang cukup. Kalau ikutkan pelan asal, memang parah juga bajet beli makanan. Mujur sahaja ada Ibu dan Ayah yang banyak membantu dalam mempersiapkan kami dengan pelbagai juadah berbuka. Alhamdulillah.

“Apa yang Ibu masak, kita kena makan. Nanti Ibu sedih tengok kita tidak makan yang dia masak.” Ayah menambah lagi dalam berbicara. Dari penglihatan aku kepada Ibu ketika itu, pertinya Ibu tidak mendengar apa yang Ayah bicarakan kepada kami.

“In Syaa Allah!!! Ayah. Ini pun sudah memadai dengan apa yang Ibu sedia. Terima kasih sebab melayan kami dengan baik sekali.” Aku membetulkan kedudukanku ketika berada di meja makan sambil tersenyum kepada Ibu. Melihat gelagat Ibu yang sibuk mencedok makanan kepada kami, aku rasa ada gelagatnya yang mencuit hatiku.

Seperti hari-hari yang berlalu, selepas pulang dari solat sunat teraweh, Ibu pasti akan datang ke bilik kami dengan membawa beberapa cawan mee maggie. Aku kalau tengok maggie pasti tersenyum lebar. Dalam banyak-banyak makanan, maggie juga yang aku paling suka. Khadijah pula kurang gemar dengan makanan segera tersebut. Dengan mata yang bersinar-sinar, hati yang berkobar-kobar aku terus mendapatkan maggie yang diberikan Ibu. Tanpa membuang masa, aku pasti akan ke dapur dan mengambil air panas untuk merendam maggie tersebut. Perkara yang paling aku tak suka adalah ketika hendak menunggu mee tersebut kembang. Terasa lama benar. Sambil menonton rancangan kegemaran aku ketika di Aceh, aku makan dengan penuh berselera sekali. Sekali-sekala ibu melintas di hadapan kami yang sedang menonton televisyen.

PESANAN: Jangan makan maggie ye, tak elok sebenarnya. Jangan tiru saya. hehe..

“Kalau Maggie, cepat sahaja dia makan. Suka benar ya?” Kata Ibu kepadaku sambil duduk bersama kami menonton rancangan tv popular di Indonesia, Ganteng-Ganteng Serigala. Aku hanya mengangguk dan  tersenyum manakala Khadijah hanya melihat gelagat aku dan anak angkat Ibu yang sudah tertacap di hadapan tv ketika itu. Angguk pun tidak, geleng pun tidak.

Ganteng-ganteng serigala yang menjadi tontonan utama aku setiap kali lepas balik teraweh. 
Ganteng ngak?haha.

Begitulah rutin setiap hari yang berlalu sepanjang aku bersama Ibu dan Ayah. Juadah berbuka pasti penuh di meja. Sampaikan pada suatu tahap, aku penat hanya dengan makan. Alhamdulillah! Sepanjang berada di rumah Ibu dan Ayah, tiada istilah kelaparan dalam diari hidup kami. Ingatkan makin turun berat badan kalau ke Aceh, aleh-aleh lagi bertambah. Itulah nikmat berbuka pada bulan Ramadhan ini.