15 November 2014 Sabtu
Assalamualaikum w.b.t
Sebenarnya dah lama penulis nk berhijrah...cuma menanti & mengumpul kekuatan utk terus melangkah..in syaa Allah..harinya akan tiba..ni penulis nk kongsi sikit pendapat tentang Hukum Berpurdah On Off..
Sebenarnya saya sudah banyak
menulis tentang purdah. Boleh diselongkar stor artikel yang lama.
Tentang tajuk ini, saya
sekadar mahu mencoret ringkas pandangan kecil saya.
Saya percaya, jika ditanya
pada setiap orang tentang situasi ini, pasti mereka akan memberikan pandangan
yang berbeza-beza.
Contoh :
” Hari tu pakai purdah,
tup-tup hari ni dah tak pakai. Siap bersolek bagai. Itulah manusia..hmm “
” Eh bukan ke dia ni pakai
purdah? Dalam gambar ni tak pakai pulak. Balik Malaysia terus bukak purdah la
ni. Macam tu baik tak payah pakai “
” Kalau nak pakai, kena pakai
betul-betul. Jangan kejap pakai kejap tak pakai. Bila dah pakai, kena
pertahankan sampai mati “
Banyak lagilah komen-komen
lain dengan nada yang pelbagai.
Semuanya kerana fenomena di
kalangan segelintir muslimat yang kadangkala dilihat berpurdah, dan kadangkala
tidak. Juga yang dahulunya berpurdah, sekarang tidak.
FAHAMI KHILAF
Terlebih dahulu, mari kita
fahami tentang khilaf. Apa itu khilaf?
Khilaf adalah perbezaan
pendapat di kalangan ulamak kerana tidak adanya dalil yang benar-benar sahih
dan menunjukkan kepada hukum tersebut. Khilaf ini terjadi dalam bab Fiqh,
tetapi tidak dalam bab Akidah. Natijahnya membawa kepada pengamalan yang
berbeza-beza tetapi saling berlapang dada. Boleh jadi yang satu betul, boleh
jadi yang satu lagi lebih tepat.
Dalam masalah purdah, ia
adalah khilaf sejak sekian lama. Masing-masing telah menerima sebagai perbezaan
pendapat yang terpulang kepada individu untuk mengambil pendapat yang diyakini
lebih baik. Ada yang berpegang dengan hukum wajib, lalu digenggam sebagai
wajib. Ada yang berpegang dengan hukum sunat, kalau pakai dapat pahala tapi
kalau buka tidak berdosa, lalu itulah pendiriannya. Dan juga, ada yang
berpendapat ia sebagai mubah ( harus semata-mata ) lalu mereka berpegang atas
pendirian tersebut.
Konklusi dalam perkara ini,
masing-masing kena berlapang dada. Bagi yang berpegang dengan hukum wajib,
janganlah sampai memaksa orang lain untuk pakai atau menghukum orang yang tidak
pakai. Bagi yang berpegang dengan hukum harus, tidak boleh sinis dengan yang
bertegas dengan memakainya sebagai wajib. Manakala bagi yang berpegang dengan
hukum sunat, tidak boleh dipandang sebagai berdosa sekiranya dia meninggalkan
amalan sunat tersebut.
Umpama seorang sahabat kita
yang setiap hari masuk masjid akan bersedekah RM2 ke dalam tabung masjid. Suatu
hari dia meninggalkan amalan tersebut, maka kita tidak boleh menganggapnya
sebagai berdosa kerana dia mempunyai pilihan samada mahu bersedekah ataupun
tidak.
FAKTOR PURDAH ON-OFF
Saya pernah diajukan soalan
seperti ini, dan saya memberikan pandangan saya.
Muslimat yang memakai purdah
tetapi on off, sebenarnya tidaklah berpunca dari satu faktor sahaja.
Inilah masalah kita apabila
memandang sinis dan mudah prejudis dengan saudara sendiri dalam bab ibadah.
Bila seseorang saudara kita jarang ke masjid untuk solat berjemaah seperti
kita, maka saudara tersebut dipandang serong bukannya didekati ataupun diusaha
untuk berbaik sangka. Purdah juga begitu. Bila seseorang membuka purdahnya,
maka kita cenderung melihat satu faktor sahaja ; tidak istiqamah, pakai
main-main dan sebagainya.
Walhal, bukankah ada banyak
lagi faktor lain seseorang itu membuka purdahnya?
Ada yang disebabkan keperluan
pekerjaan. Boleh jadi situasi pekerjaan yang dipilih lebih memudahkannya jika
tidak berpurdah. Apatah lagi dalam suasana di Malaysia, bukan di tanah arab.
Ada yang disebabkan keluarga.
Boleh jadi keluarganya akan berkecil hati jika anak gadis mereka berpurdah
meskipun bersama mereka dalam aktiviti kekeluargaan.
Ada juga disebabkan tuntutan
dakwah. Boleh jadi bagi mereka, strategi dakwah tanpa purdah lebih berkesan
mendekati mad’u berbanding memakai purdah.
Banyak lagi faktor-faktor
yang lain seseorang itu membuka purdahnya. Bukan satu faktor sahaja.
Justeru, apakah kita hanya
ingin bertegak atas suatu prejudis dan prasangka semata-mata?
Ia menghilangkan nikmat
ukhwah dan mencacatkan persaudaraan.
YANG TIDAK KHILAF
Teringat waktu berdiskusi
dengan isteri, saya katakan kepadanya. Saya tidak menafikan kemungkinan untuk
dia tidak berpurdah suatu ketika nanti. Boleh jadi dia akan berpurdah sampai
tua, dan boleh jadi tidak. Sebagai suami, menjadi tanggungjawab saya untuk
memastikan isteri melakukan sesuatu atas dasar ilmu dan kefahaman, bukan hanya
semangat mahupun ikutan. Agama mengajar tentang maqasid (
tujuan-tujuan agama ) dan seorang muslim yang bijak adalah muslim yang beramal
dengan menjiwai maqasid tersebut.
Pakai purdah ada maqasidnya.
Maqasid pakai purdah adalah untuk memelihara diri dari fitnah. Wajah wanita,
meskipun bukan aurat, tetapi ia menarik perhatian lelaki, apatah lagi jika
wajahnya cantik. Maka menjadi suatu yang afdhal untuk wajah
tersebut dilindungi agar maruahnya tetap terjaga.
Tapi, kalau pakai purdah, namun
wajah di’snap’ jarak dekat, dan dipublish dalam facebook,
sehingga jelas bulu matanya yang lentik, itu jelas sekali songsang dengan
maqasidnya, sebagaimana ditulis dalam artikel
ini.
Daripada kita sibuk bercerita
tentang perkara yang memang khilaf dan merupakan bab afdhaliyyat (
kelebihan beramal ), mengapa tidak kita tekankan tentang perkara yang tidak
khilaf?
Seseorang yang tidak
berpurdah, tetapi ketika keluar ke khalayak dia tidak menonjolkan perhiasan
diri dan wajah serta sangat menjaga dari mempublish gambar di
facebook atau blog, adalah LEBIH BAIKdaripada seseorang yang
berpurdah, tetapi bergemerlapan, gemar bergambar jarak dekat menampakkan bebola
matanya yang jernih, sambil menjeling dengan jelingan bertopeng panahan
syaitan.
Apa yang tidak khilaf adalah
kewajipan menjaga diri dari fitnah.
Kewajipan menyembunyikan
perhiasan diri dan jangan keluar ke khalayak ( atau alam maya ) dalam keadaan
yang menarik perhatian ajnabi. Jangan membiarkan diri dipandang, dan jangan
memandang-mandang. Bukankah semua ini lebih utama untuk diingatkan?
Kalau seseorang yang dulunya
berpurdah, tetapi tiba-tiba tidak berpurdah, di mana kita mengetahuinya apabila
melihat gambar-gambar terbarunya di facebook, maka terlebih dahulu betulkan mindset kita
bahawa boleh jadi dia lebih selesa tidak berpurdah. TETAPI perbuatan mempublish gambar
di facebookitu perlu ditegur, agar ia tidak menjadi pembuka pintu
fitnah.
Dengan cara itu, kita boleh
mengembalikan hikmah nasihat menasihati atas perkara yang pokok, bukan sekadar
cabang dan ranting.
FITNAH VS BUKAN FITNAH
Wanita adalah fitnah. Itu
termaktub jelas dalam hadith Nabi s.a.w yang berbunyi :
” Tidak akan tinggalkan
fitnah yang lebih besar ke atas kaum lelaki berbanding wanita “.
Namun dalam menjiwai hadith
tersebut dan menjalani kehidupan sebagai muslimah saban hari, kita memerlukan
kebijaksanaan yang tinggi.
Saya katakan, seorang anak
gadis yang berpurdah tetapi gemar berjalan seorang diri itu lebih menjadi
fitnah berbanding seorang anak gadis tidak berpurdah, tetapi berjalan bersama
ayah atau ibunya.
Sebab itu saya nasihatkan,
jika mahu mengenakan purdah, lihat kepada tempat yang dituju dan khalayak mana
yang kita masuki. Jika khalayaknya aman dari fitnah lelaki serta lebih sesuai
untuk tidak berpurdah, maka tidak memakainya itu lebih baik. Sudah tentu, ini
bagi muslimat yang berpegang dengan hukum sunat atau harus sahaja. Begitu juga
jika keluar bersama suami, boleh sahaja untuk tidak mengenakan purdah kerana
telah aman daripada fitnah.
Lihat sahajalah dalam
kehidupan kita. Lelaki tidak akan tergamak menjeling anak dara orang jika
bapanya ada di sebelah. Begitu juga mereka tidak akan berani menjeling isteri
orang jika suaminya ada di sebelah. Dalam ertikata lain, situasi tersebut
seakan pengganti kepada sekeping kain bernama purdah.
Adapun jika keluar ke
khalayak yang ramai, terdedah kepada fitnah dan memerlukan kepada penjagaan
diri yang lebih ketat, maka pada saya, berpurdah adalah lebih baik. Bahkan
ramai sekali muslimat yang mengakui mereka lebih tenang dan selesa apabila
memakai purdah, seperti yang saya tulis dalam artikel
ini.
KESIMPULAN
Kata-kata keramat ”
hasanaatul abrar, sayyiaatul muqarrabin ” yang bermaksud perkara
yang dinilai baik bagi orang kebanyakan namun dinilai buruk bagi orang yang
dekat dengan Tuhan wajar dijadikan azimat untuk meningkatkan diri ke
arah memperbanyakkan amalan-amalan sunat. Namun ia sama sekali tidak boleh
dijadikan modal untuk menghukum.
Amalan baik itu adalah
kempen. Solat berjemaah itu kempen. Bersedekah itu kempen. Pakai purdah juga
kempen. Kempen, istilah rasminya adalah DAKWAH. Adakala dengan kata-kata,
adakala cukup dengan tauladan.
Apa yang pasti, bersangka
buruk, prejudis, sinis dan umpatan belakang itu bukan kempen, bukan dakwah dan
bukan tauladan.
Mudah-mudahan Allah terima
amalan baik kita, dan bantu kita untuk istiqamah dengan amalan-amalan baik
tersebut, insyaAllah.
Sekian.
sekadar perkongsian kita bersama..sampaikanlah walaupun satu ayat..:)