salam sayang dan rindu dari saya

Friday 9 September 2016

DG Tembila - 5) Ayah dan Ibu Dari Kaca Mataku


Pencarian tempat tinggal pada hari kedua menjadi titik permulaan dalam pertemuan bersama Ayah dan Ibu. Sebelum kami mencari tempat penginapan yang baru, Encik Muhajir membawa kami ke sebuah bangunan yang besar untuk bertemu bersama Drs. Tgk. H. A. Rahman Kaoy iaitu Wakil Ketua Majelis Adat Aceh (MAA).

Kami sedang menemuramah Ayah di pejabatnya bagi mendapatkan maklumat tentang Sejarah Sultan Iskandar Muda.


“Alang-alang kita di sini, apa kata saya bawa kalian ketemu sama Ketua Adat Aceh di sini. Bisa gak? Kemudian kita cari tempat penginapan semula.” Encik Muhajir memberikan cadangan kepada kami.

“Bisa-bisa. Kami follow aja.” Kataku dalam loghat Indonesia tanda setuju dengan cadangan tersebut.

Kami mengikuti Encik Muhajir bertemu bersama wakil tersebut. Ketika kami ingin berjumpa bersama beliau, beliau sedang sibuk menyiapkan tugas-tugasnya. Apabila diberitahu akan kedatangan kami dari Malaysia untuk menemubual beliau, beliau segera menjemput kami masuk ke pejabatnya. Di pejabatnya pula, tergantung gambar-gambar tokoh Islam dahulu. Antaranya gambar lakaran Sultan Iskandar Muda dan Sultanah Safiatuddin Tajul Alam.

“Wow!!!Pak cik ni memang pencinta sejati sejarah lahhh..” Aku menggumam di dalam hati kerana berasa kagum dengan beliau.

“Ayah, saya bawakan mereka ini mahasiswa dari Malaysia yang datang untuk mengkaji sejarah Sultan Iskandar Muda di sini. Saya katakan Ayah lebih arif dalam sejarah ini.” Kata Encik Muhajir sambil memperkenalkan kami kepada Ketua Adat tersebut.

Kami hanya tersenyum dan memperkenalkan diri masing-masing. Kami juga menyatakan tujuan kami ke Banda Aceh. Khadijah mengambil peranan dalam sesi temu bual kali ini. Aku pula mengambil gambar dan merakam sesi temu bual tersebut. Ayah menceritakan semua sejarah salasilah Sultan Iskandar Muda dari awal hingga yang beliau ketahui. Beliau juga merupakan pencinta sejarah Sultan Iskandar Muda.

“Biar saya ambilkan gambar kalian bersama ayah.” Kata Encik Muhajir kepadaku sambil menghulurkan tangan untuk mengambil kamera di tanganku ketika itu.

“Terima kasih, Encik.” Aku membalas sambil menghulurkan kameraku kepada beliau.

Setelah sesi temuramah bersama ayah selesai, aku dan Khadijah meminta diri untuk bergerak ke destinasi yang seterusnya.

“Selepas ini kalian mahu kemana pula?” Tanya ayah kepada kami berdua, tapi persoalan itu dijawab oleh Encik Muhajir.

“Saya mahu cari tempat penginapan untuk mereka. Tempat yang ada sekarang tidak sesuai dan tak selamat.” Kata Encik Muhajir jujur.

“Kenapa mahu dicari, tinggal aja di rumah Ayah. Lagian Ibu pun ada bersama. Di rumah tiada orang lain, kami berdua aja. Mahu kalian tinggal bersama?” Ayah mempelawa kami untuk tinggal bersamanya.

“Biar benar? Jika Ayah merasakan kedatangan kami tidak membebankan ayah dan ibu, kita bisa aja menerima pelawaan itu. Saya menerimanya dengan rasa bersyukur dan terima kasih tidak terhingga.” Kata aku kepada ayah tanpa basa basi. Aku menerima pelawaan itu dengan penuh rasa bersyukur. Kalau dibandingkan semula dengan tempat penginapan yang kami tinggal itu, lebih baik tinggal bersama ayah. Ayah juga dapat menjadi orang sumber kami yang paling terdekat dalam pengumpulan maklumat, memandangkan di rumah beliau juga menyimpan banyak barang sejarah.

Sebelum kami keluar dari pejabat Ayah, Encik Muhajir berjanji akan menghantar kami terus ke rumah ayah setelah pulang dari melawat Taman Putroe Phang dan Gunongan. Banyak maklumat yang kami peroleh di sana. Menurut Encik Muhajir, Taman Putro Phang merupakan taman yang dibina oleh Sultan Iskandar Muda kepada Putro Phang. Putro Phang atau lebih dikenali dengan nama Puteri Pahang yang berasal dari Negeri Pahang, Malaysia.  Puteri Pahang juga merupakan anak kepada Sultan Johor.

Pintu masuk ke Taman Putroe Phang.

Jambatan yang terdapat di Taman Putroe Phang

Kolam mandi yang menjadi tempat Puteri Pahang bermandi manda.

Jagalah kebersihan. Signboard yang terdapat di dalam taman tersebut.

Batu catatan tentang sejarah Taman Putroe Phang.

Pintu gerbang kecil yang di bawahnya memuatkan laluan bagi salah seorang untuk keluar masuk. Ketika berada di bawah batu ini, terasa haba panas di luar berkurangan. Menurut En Muhajir, pintu gerbang batu ini di perbuat daripada campuran telur dan beberapa bahan yang lain. Sebab itu juga ia sangat sejuk.


Kawasan dalam Taman Putroe Phang.

Batuan-batuan ini dikatakan adalah laluan air sungai yang mengalir ke tempat mandian Putroe Phang. Sekarang kawasan ini telah kering dan hanya tinggal kesan batu-batu sahaja.


Taman Sari Gunongan dan Kandang atau dikenali dengan nama Taman Gairah pula merupakan tempat untuk Puteri Pahang bermain bagi melepaskan rindu di negeri sendiri yang ditengahnya mengalir Sungai Darul Asyiqi. Sultan Iskandar Muda membinanya (1607-1636M) dengan seni bina yang bergunung-gunang yang menunjukkan gunung seperti yang berada di negeri Pahang sebagai tempat bersenang-senang permaisuri Sultan Iskandar Muda.



Batu catatan lama yang terdapat di Gunongan.

Gunongan.


Kandang pula dijadikan tempat Makam Sultan Iskandar Thani, menantu Sultan Iskandar Muda yang memerintah pada tahun 1636-1642M. Sultan Iskandar Thani pula adalah anak kepada Sultan Pahang, Malaysia yang berkahwin dengan Sultanah Safiatuddin Tajul Alam (1642-1673M).
Laluan yang terdapat di Gunongan.

Terdapat pintu kecil yang menjadi tempat puteri bermain bersama dayang-dayangnya suatu ketika dahulu.


Setelah selesai melawat beberapa tempat yang berkaitan dengan kajian yang hendak di jalankan, kami terus di bawa menuju ke rumah ayah. Kalau nak di ingatkan jalan ke sana, memang aku tidak dapat mengingat sepenuhnya. Tapi ada satu nama jalan yang aku ingat, Jalan Salam. Dari situ aku sudah dapat mencari rumah ayah.

Tiba di rumah ayah, kami di sambut oleh Ibu dengan senyuman lebar. Aku dah Khadijah bersalaman dengan ibu. Ibu menunjukkan bilik tidur kami bagi meletakkan bagasi yang kami bawa. Alhamdulillah, selesa sangat.

Ketika ibu sedang sibuk memasak di dapur, aku dan Khadijah datang mendekati ibu untuk membantu beliau. Tetapi, ibu menegah kami dari melakukan sebarang pekerjaan, walaupun kami berniat untuk meringankan kerja beliau. Kata ibu, kami ini tetamu dan kerja tuan rumah adalah melayan tetamu bukan bagi tetamu membuat kerja. Aku dah tak senang duduk. Sudahlah orang bagi tumpang rumah, makan pun orang sedia, sekarang nak bantu pun tidak dibenarkan. Serba salah kami dibuatnya.



Ibu Elbi atau nama penuhnya Dra. Hj. Elbi Hasan Basri adalah bekas pensyarah. Melihat keadaan beliau sekarang aku agak usianya dalam 60-an. Kata ayah, setahun yang lalu ibu baru sahaja melakukan pembedahan pada gegendang telinga. Di sebabkan pembedahan tersebut, ibu kurang mendengar jika kami bertanyakan kepadanya tentang sesuatu perkara. Ada kalanya, aku akan bertanya dalam nada yang agak kuat supaya beliau dapat mendengar apa yang diperkatakan oleh aku.

“Ibu, hari ini mau masak apa?” Tanya aku kepada ibu pada suatu petang. Kami mengambil cuti sehari dari melakukan sebarang kajian dan duduk di rumah membantu ibu.

“Apa? Maaf. Ibu kurang dengar. Telinga sudah tidak dapat mendengar. Gak apa-apa, pergi berehat sahaja. Usah datang ke dapur.” Kata ibu kepada aku sambil menyuruh aku pergi ke depan.

Aku hanya menganguk dan berlalu ke ruang tamu.

“Ishh, aku kena buat sesuatu ni. Mesti ada cara nak bagi ibu faham apa yang aku cakap.” Guman aku sendirian ketika berlalu dari dapur. Tiba-tiba aku mendapat satu idea. Aku terus ke bilik tidur dan mencapai baku nota dan sebatang pen. Terus aku ke dapur semula. Aku mencatatkan sesuatu kemudian menunjukkan pada ibu.

“Ibu, saya bisa tolong apa?” Aku bertanya tetapi melalui nota yang aku tulis dan tunjukkan kepada ibu.

“Gak usah. Biar ibu aja yang buat.” Ibu sekali lagi melarang aku untuk membantunya.

Waktu berbuka hampir tiba. Aku ke meja makan untuk menolong ibu menghidangkan makanan. Alangkah terkejutnya aku apabila semua makanan sudah disediakan oleh ibu. Minuman yang pelbagai jenis. Makanan yang pelbagai bentuk. Juadah berbuka puasa yang pastinya menyelerakan penuh di atas meja. Semuanya disediakan oleh ibu. Aku duduk dikerusi berhadapan dengan ayah. Khadijah berada disebelahku.

“Tadi ke mana?” Tanya ibu kepadaku pada suatu petang selepas aku pulang dari Pasar Aceh bersama seorang kenalan yang baru dikenali di sana. Kak Fikri, kenalan yang aku kenal ketika solat teraweh di masjid bersama ibu pada hari yang kelima di Banda Aceh. Kak Fikri juga merupakan pelajar dari Aceh yang belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

“Kita ke pasar Aceh dengan Kak Fikri.” Aku mencatatkan kata-kata jawapan itu di atas helaian kertas dan menunjukkan kepada ibu setelah berkali aku menjawab tapi tidak difahami ibu apa yang aku sampaikan.



Kak Fikri yang menjadi kenalan aku ketika solat teraweh. Dia membawa kami melawat sekitar Banda Aceh.


Telekung di Aceh memang cantik-cantik.

Sepanjang tinggal bersama ayah dan ibu, aku dapat melihat sesuatu yang sangat luar biasa antara mereka berdua. Ibu dan ayah jika diperhatikan setiap hari mereka boleh diklasifikasikan sebagai pasangan yang sangat romantik. Walaupun mereka telah lanjut usia, tetapi mereka lebih memahami antara satu sama lain.

“Sweet la ayah dengan ibu. Ayah sabar je walaupun terpaksa cakap berulang kali dekat ibu.” Bisik aku kepada Khadijah.

“Itulah Kak Mun, kena cari orang Aceh la lagu ni. Depa semua sweet.” Kata Khadijah dalam nada bergurau kepadaku.

Makan minum ayah semua ibu sediakan. Kalau makanan yang ibu bagi, kita tak makan, ibu akan sedih. Berulang kali ayah ingatkan kami. Beliau sangat menjaga hati ibu. Kami hanya tersenyum sepanjang tinggal di sana. Semua yang di lalui terasa indah belaka. Pengumpulan maklumat dalam menjalankan misi ini, hanya banyak diperoleh dari ayah. Dari lepas sahur, ayah telah bersedia menceritakan kepada kami tentang Sultan Iskandar Muda. Sampai ada satu ketika aku tersengguk-sengguk kepala kerana mengantuk. Macam mana tak mengantuk kalau dari pukul 4.30 pagi sampai subuh merakam butir bicara ayah. Itulah pengalaman yang tidak dapat aku lupakan sepanjang berada di rumah ayah. Beliau sangat dihormati dan banyak membantu kami dalam menjayakan misi ini.

Selepas sahur kami terus mendengar cerita tentang Sultan Iskandar Muda. 
(Mau tak nye aku menganguk masa ni. Mengantok gila, awai pagi pulak tu.)

Antara bahan-bahan sejarah yang terselamat dari Thunami 2004. Kata ayah, sebelum Thunami 2001, terdapat banyak bahan sejarah yang di simpan di sini.