Encik
Muhajir membawa kami melawati pelbagai tempat di sekitar Banda Aceh. Beliau
banyak memberikan maklumat kepada kami sepanjang menjadi ‘tour guide’ dalam mendapatkan maklumat tentang dua tokoh yang kami
ingin kaji.
Selain
itu, beliau juga membawa kami melawat tempat-tempat yang terkena tsunami pada
tahun 2004. Antara pengalaman yang paling tidak dapat dilupakan adalah ketika
berjumpa dengan Puan Razimah yang berkongsi kisah tragedi tsunami yang menimpa
keluarga beliau di Kuburan Turki. Kemudian apabila berjumpa dengan orang sumber
yang lain, mereka juga tetap akan menyelitkan tentang kisah tsunami. Ada yang
bercerita sambil menangis kepada kami. Aku pula kalau orang bercerita sedih je
mesti keluar air mata punya. Aku tumpang simpati dengan kejadian yang menimpa
kepada setiap ahli keluarga mereka.
Apa
yang menariknya Aceh ini adalah, mereka begitu menghormati tetamu. Terutama
sekali dari Malaysia. Semasa berjumpa dengan Ummi di Zawiyah Tanoh Abee, beliau
mengatakan bahawa arwah suaminya sangat suka akan orang Malaysia.
“Ummi pun tak tahu kenapa abu suka
benar dengan orang Malaysia.” Kata ummi ketika kami
melawat beliau bagi melihat manuskrip kuno di sana.
“Setiap kali orang Malaysia datang,
abu akan layan dengan baik. Orang Malaysia juga banyak yang membantu kalo nak
di bandingkan dengan orang Aceh. Sebab itu hubungan kami dengan Malaysia itu
baik. Kalo 1000 orang Malaysia itu mungkin hanya ada 1 yang tidak baik, tapi
kalo orang Aceh itu umpama 1000 yang tidak baik 1 aja yang baik.”
Sambung ummi lagi.
Encik
Muhajir membawa kami melawat sekitar Banda Aceh dengan menaiki kereta beliau.
Katanya di Aceh ini terdapat banyak bahan yang perlu dikaji oleh anak muda.
Beliau juga sangat kagum dengan kami yang sanggup datang ke Banda Aceh semata-mata
untuk mengkaji sejarah Islam walhal, masyarakat Aceh itu sendiri pun kurang
mengambil tahu hal tersebut.
Aku
kurang pasti dengan kenyataan tersebut, tetapi apabila sudah keluar dari mulut
tuan punya badan mungkin ada betulnya. Perjalanan kami sepanjang berada di Aceh
ini penuh dengan cabaran. Cabaran pertama adalah bergerak di bulan puasa. Penat
dan dahaga cepat terasa. Sampaikan ada satu tahap aku sendiri terasa nak
pengsan. Cabaran kedua adalah suhu panas di sana. Kata Encik Muhajir, suhu sekarang
adalah 39oC. Patutlah aku dan Khadijah terasa bahang. Cepat sungguh
letih. Cuaca yang terlalu panas menyebabkan kami bergerak hanya setengah hari
sahaja. Selepas pukul 3 petang kami terus pulang.
Pada
sebelah malamnya, kami akan pergi solat teraweh bersama Ibu dan Ayah. Apa yang
menarik sepanjang teraweh di sini adalah di setiap masjid yang kami lalui pasti
dipenuhi dengan masyarakat yang datang untuk solat teraweh.
“Wow..terbaikkkklahhhh..”
Hanya itu yang terluah dari mulut aku ketika itu. Perasaan kagum melihat betapa
ramainya orang yang memenuhi masjid membuatkan aku terasa hendak menangis.
Terbayang di kotak fikiran aku ketika itu adalah perbezaan antara solat teraweh
di Aceh dan di Malaysia. Lebih spesifik solat di tempat aku.
Masjid
Oman atau dengan nama Masjid Agung Al-Malmur, menjadi tempat kami untuk
menunaikan solat fardhu dan solat teraweh. Perkara yang paling aku suka tentang
solat di sini adalah aku boleh melihat kepelbagaian warna warni wanita yang
bersolat.
“Cantiknya telekung diorang!!!”
Perasaan teruja aku ketika melihat warna-warni solat di sini. Kalau di
Malaysia, kita akan lihat wanita yang bersolat akan memakai telekung warna
putih sahaja, telekung berwarna sikit-sikit sahaja, tapi kalau di Aceh boleh di
katakan majoriti wanita akan memakai telekung berwarna. Ada yang bercorak batik
dan ada yang bercorak bunga. Semuanya nampak cantik. Kanak-kanak pula turut
datang memenuhi saf yang ada. Paling menarik mereka ini memakai telekung
bergambar ‘princess’, ‘angry bird’,
‘hello kitty’ dan banyak lagi.
“Mungkin ini cara ibu bapa nak
tarik anak-anak datang masjid.” Fikir aku positif.
Alhamdulillah.
Aku bersyukur kerana aku berpeluang menjalankan ibadah puasa di Aceh. Memang
pada asalnya kami kekurangan baget untuk melaksanakan misi. Makanya kami
memilih bulan puasa bagi mengurangkan kos makan dan minum. Tak sangka pula aku
bahawa pengalaman berpuasa di perantauan membuatkan aku lebih berfikiran
terbuka.
Semasa
Encik Muhajir membawa kami melawat Masjid Raya Baiturrahman, aku lihat ramai
orang yang datang berkunjung. Fikir aku, mungkin mereka sedang bersiap untuk
solat Zohor. Itu baru pandangan luar masjid. Apabila menjejakkan kaki ke
kawasan perkarangan masjid, lagi ramai orang yang lalu lalang di situ. Masuk ke
dalam masjid pula, lagi mengejutkan aku ketika itu. Masjid Raya Baiturrahman
yang begitu besar dipenuhi dengan masyarakat yang datang dari pelbagai pelusuk.
“Ketika bulan puasa ramai ustaz dan
ustazah yang datang untuk mengajar anak-anak di sini. Ada yang dibuat kelas
mengaji, fardhu ain dan sebagainya.” Terang Encik Muhajir
kepada kami.
Melihat
situasi itu baru aku dan Khadijah mengerti kenapa ramai jemaah yang berada di
Masjid Raya itu. Setiap kali masuk solat fardhu juga, kelihatan masyarakatnya
akan segera menuju ke masjid. Kalau ada yang sedang berniaga, akan di letak
papan tanda menyatakan yang mereka sedang solat.
“Awesome.”
Satu patah perkataan yang terkeluar dari mulut aku ketika itu.
Di
Aceh juga, kami dapat melihat bagaimana jalan raya akan sesak dengan ribuan
manusia yang pergi dan balik daripada aktiviti harian mereka. Kalau di Malaysia
jalan sesak orang jarang hon, sebab memang dah tahu tu sesak. Bunyi hon masa
pemandu depan leka layan telefon bimbit ataupun pemandu yang tak berhemah
sahaja. Tapi, lainnya di Aceh, semua yang membawa kenderaan mesti akan bunyikan
hon. Jalan raya buat macam jalan sendiri dah aku tengok. Ada yang ke kanan, ada
pula yang ke kiri dan ada juga yang berada di tengah-tengah jalan raya. Takde
yang marah pun.
“Di sini semua orang kena bunyikan
hon, kalau tidak mesti orang akan marah.” Kata Encik
Muhajir kepada kami berdua.
“Eh, terbalik pula dengan Malaysia.
Kalau bunyi hon tu tanda orang marah.” Kata aku dalam hati.
“Sebab kenapa kena bunyikan hon itu
adalah kerana mereka mahu bagi tahu yang mereka mahu jalan dahulu. Jadinya,
orang lain akan memberi laluan kepada pemandu itu.”
Sambung Encik Muhajir lagi.
Barulah
kami faham situasi dan keadaan di Negara orang. Lain tempat lain caranya. Pada
pandangan aku, rata-rata masyarakat di sini menghormati antara satu sama lain
ketika di jalan raya. Mereka akan memberikan laluan kepada sesiapa sahaja. Tak
kiralah motorsikal atau pun kereta. Semuanya saling memahami. Kalau ada
motorsikal yang hendak melintas, kereta yang di pandu laju dari jauh pun akan
memperlahankan kenderaan mereka semata-mata untuk memberikan laluan kepada yang
lain.
“Encik Muhajir, di sini saya jarang
nampak kereta yang kecil, semuanya besar-besar. Orang kayakah mereka ini?”
Soal aku ketika kami dalam perjalanan ke Taman Putroe Phang.
“Owh ya. Di sini semua orang pakai
kereta besar-besar kerana mereka itu tidak suka kereta yang kecil. Kereta yang
besar lebih selesa bagi mereka. Kalau yang kecil itu sempit dan kurang selesa.”
Terang Encik Muhajir kepada kami dengan panjang lebar.
Barulah
aku faham dengan keadaan di sini. Jadi kalau ada yang nak berkereta besar,
kahwinlah dengan orang Aceh. Kereta mereka memang besar dan selesa.