salam sayang dan rindu dari saya

Sunday 11 September 2016

DG Tembila - 7) Iskandar dan Puteri Pahang


Dalam kajian kami kali ini, kami di bawa oleh Encik Muhajir ke setiap destinasi yang telah di rancang. Bersyukur juga kerana ada yang dapat menolong kami di sini. Siapa sangka, rupa-rupanya Encik Muhajir ini adalah seorang pensyarah di Universitas Islam Ar-Raniry (UIN). Beliau juga merupakan generasi ke-9 Zawiyah Tanoh Abee yang merupakan tempat paling suci dan menyimpan jutaan manuskrip lama di sana. Menurut beliau juga Zawiyah Tanoh Abee adalah Perpustakaan kuno yang paling lama di Asia. Kini Encik Muhajir lebih dikenali dengan nama Muhajir Al-Fairusy.
Selain itu, beliau juga telah menerbitkan beberapa buah buku antaranya buku tentang Dayoh Tanoh Abee. Beliau juga menjadi juruedit di tempat ayah bekerja.

Pertemuan pertama kami dengan Encik Muhajir


“Wahhhhh..Hebat juga Encik Muhajir ni. Bukan calang-calang orang.” Bisik hati aku.

Aku tak dapat bayangkan yang membawa kami pusing keliling Banda Aceh ini adalah seorang pensyarah. Agak-agak pensyarah di Malaysia ada yang macam ini tak?

Encik Muhajir menceritakan kepada kami Sejarah Kegemilangan Islam di Banda Aceh ketika zaman Sultan Iskandar Muda.


Dalam kajian tentang Sultan Iskandar Muda, atau lebih dikenali sebagai Sultan Iskandar Meukuta Alam merupakan pemerintah yang dikenali dengan ketegasannya serta kehebatannya dalam menjalankan hukum-hukum Islam walaupun terhadap anggota keluarga baginda sendiri. Maklumat yang diperoleh daripada Ayah menyatakan bahawa Baginda juga masyhur dengan nama Peurkasa Alam kerana keberanian yang dimiliki oleh baginda dalam menegakkan kebenaran dan gelaran ini diberikan oleh sahabat-sahabat baginda ketika baginda dewasa.

Masa kecil baginda lebih banyak dihabiskan dalam lingkungan istana dan baginda masyhur dengan nama Raja Zainal atau Raja Silan manakala semasa bayi baginda sering disebut Tun Pangkat Darma Wangsa, (Zainuddin: 1957, 21). Sultan Iskandar Muda diputerakan pada tahun 1953 di Banda Aceh. Baginda memerintah selama 29 tahun dan telah menempa pelbagai kejayaan dalam perluasan kuasa dan hubungan antarabangsa.



Temuramah bersama ayah berlanjutan sehingga ke salasilah Sultan Iskandar Muda.

“Sultan Iskandar Muda dilahirkan pada tahun 1593 di Aceh dan wafat pada tanggal 27 Disember 1636. Baginda berasal daripada keturunan Raja Darul-Kamal bagi sebelah ibundanya dan Raja Mahkota Alam daripada sebelah ayahandanya. Ibunda baginda bernama  Puteri Raja Indra Bangsa atau lebih masyhur dengan nama Paduka Syah Alam manakala ayahanda baginda bernama Sultan Mansur Syah cucu kepada Sultan Alauddin Riayat Shah Al-Qahhar. Sultan Alauddin Riayat Shah Al-Qahhar merupakan salah seorang pemerintah yang tegas dalam melaksanakan perintah Allah walaupun terhadap anggota keluarganya sendiri. Makam Sultan Iskandar Muda terletak di Kompleks Kandang Mas tetapi dihancurkan oleh Belanda dan makam sekarang hanyalah duplikat hasil petunjuk Pocut Meurah, isteri kepada Sultan Mahmudsyah yang sering berziarah ke makam Sultan Iskandar Muda ini.” Terang ayah dengan panjang lebar.


Loceng yang dihadiahkan oleh Cheng Ho untuk Sultan Iskandar Muda yang masih terdapat di Muzium Aceh.






Makam Sultan Iskandar Muda

Maklumat yang kami peroleh menceritakan bahawa Sultan Iskandar Muda lebih banyak meluangkan masa di dalam istana di mana pendidikan baginda sangat di titik beratkan agar mendapat pendidikan yang sempurna dan yang terbaik. Sejak usia antara 4-5 tahun baginda telah diajarkan berbagai ilmu pengetahuan. Ketika usianya mencapai baligh, ayahandanya menyerahkannya kepada Teungku Di Bitai (ulama turunan Arab dari Baitul Mukadis) dan diberi gelar Tun Pangkat Peurkasa Syah (Zainuddin, 1957: 27) agar menerima ilmu dengan sempurna.

Kemudian baginda menerima pendidikan daripada ulama-ulama dari Mekah antaranya Syekh Abdul Khair Ibnu Hajar dan Sekh Muhammad Jamani yang merupakan ahli dalam bidang ilmu fiqh, tasawuf dan ilmu falak. Seterusnya baginda menerima pendidikan daripada seorang ulama yang masyhur berasal dari Gujarat iaitu Syeikh Muhammad Djailani bin Hassan Ar-Raniry. Ketiga-tiga ulama ini mempunyai jasa yang sangat besar terhadap pendidikan Sultan Iskandar Muda selain mempengaruhi cara pemikiran baginda.

Berdasarkan kajian yang telah dijalankan di Banda Aceh, pada tahun 881H, Sultan Salahuddin Syamsu Syah Meukuta Alam telah mengisytiharkan bahawa Aceh adalah kerajaan Islam iaitu sebuah negara yang menegakkan Islam. Hukum syar’ie merupakan tanda aras bagi segala adat yang diberi kebenaran untuk dilaksanakan di Aceh. Segala adat, seni dan budaya masyarakat Aceh harus disesuaikan  dengan syariat Islam. Adat-adat masyarakat Aceh yang seiring dengan hukum syar’ie dikekalkan tetapi bagi adat yang tidak mengikut syar’ie Islam wajib diubah menjadi selari dengan yang dibenarkan syar’ie.

Kesemua Kerajaan Kesultanan Aceh disatukan oleh Sultan Johan Ali Ibrahim Mughayat Shah atau Sultan Ali Mughayat Shah menjadi kerajaan Aceh Darussalam pada tahun 913H iaitu Kesultanan Islam Peureulak, Kesultanan Islam Samudera Pase, Kerajaan Islam Meukuta Alam Banda Aceh atau Kerajaan Islam Linge, Kesultanan Islam Pidie, Kerajaan Darul Imarah Darul Kamal, Kerajaan Islam Banua Tamiang dan Kerajaan Islam Jaya. Madinatul Sultan Banda Aceh (sekarang Banda Aceh) merupakan pusat pentadbiran kerajaan Aceh Darussalam. Sultan Mughayat  Shah putera Sultan Salahuddin Syamsu Shah Meukuta Alam (881H) diangkat menjadi Putera Mahkota merangkap Panglima Perang Islam dan baginda juga merupakan ahli strategi.

            Sultan Alauddin Riayatshah Al-Kahar (datuk Sultan Iskandar Muda dari pihak ibunya) beliau mengundang 70 ulama untuk menyusun sebuah Qanun Pemerintahan Islam di Aceh yang disebut Qanun Syara’ Al-Asyi. Beliau memperkuat angkatan laut, darat dan mengalahkan angkatan laut Portugis yang datang menyerang Aceh dan beliau memperoleh kemenangan.

 
 Salasilah keluarga Sultan Iskandar Muda

Puteri Gayo merupakan salah seorang isteri kepada baginda Sultan Iskandar Muda. Hasil daripada perkahwinan, baginda dikurniakan seorang putera yang lebih masyhur dengan nama Meurah Pupok. Dalam bahasa Gayo, “Meurah” bermaksud marah dan gaya kalimah ini diguna pakai bagi gelaran Raja-Raja Aceh sebelum kedatangan Islam.

            Seterusnya, baginda juga telah menikahi seorang puteri yang berasal dari Ribee, Pidee, Aceh yang dikenali sebagai Puteri Thani. Hasil daripada perkahwinan ini mereka dikurniakan seorang puteri yang akhirnya menjadi salah seorang Sultanah Aceh iaitu Sultanah Sri Ratu Safiatuddin Tajul Alam. Sultanah Safiatuddin telah berkahwin dengan seorang anak kepada Sultan Ahmad Syah daripada Kesultanan Pahang, Tanah Melayu, yang diberi nama Sultan Iskandar Thani II.

            Putroe Phang atau Puteri Pahang juga merupakan salah seorang isteri kepada Sultan Iskandar Muda yang dikenali ramai kerana mendalamnya cinta dan kasih sultan kepada Puteri Pahang ini. Putroe Phang ini berasal daripada Kesultanan Pahang dan ada yang mengatakan bahawa puteri ini merupakan adik kepada Sultan Ahmad Syah, Pahang. Nama sebenar puteri ini adalah Puteri Kamaliah. Bukti cinta baginda Sultan Iskandar Muda dapat dilihat pada pembinaan Gunongan. Gunongan ini dibina untuk merawat kesedihan puteri yang terlalu rindukan kampung halamannya yang berbukit-bukau. 

            Menurut sumber daripada Drs. Tgk. H.A. Rahman Kaoy, Sultan Iskandar Muda mempunyai empat orang isteri. Isterinya yang pertama bernama Puteri Thani Ratna , iaitu anak kepada Tgk Syeikh Mohd Amin Rebey atau nama sebenarnya Daeng Mansor (Makassar). Hasil perkahwinan tersebut maka lahirlah Meurah Pupok dan Sultanah Sri Maharaja Puteri Sri atau lebih dikenali sebagai Ratu Safiatuddin Syah Tajul Alam. Seterusnya,  isteri kedua beliau ialah Puteri Pahang atau lebih dikenali di Aceh sebagai Putroe Phang. Sekembalinya Sultan Iskandar Muda ke Aceh setelah menikahi Putroe Phang, beliau juga telah mengambil Sultan Iskandar Thani sebagai anak angkatnya. Sultan Iskandar Thani merupakan anak kepada Sultan Ahmad Syah, iaitu Sultan Perak.  Hasil perkahwinan beliau dengan isteri ketiga ,Puteri Asiah mereka  dianugerahkan dengan dua cahaya mata, Malik Abd Jalil dan Raja Asahan ,Tg Baley (raja di Asahan).  Puteri Gayo pula isteri baginda sultan yang ke empat dan tidak dikurniakan cahaya mata.

            Sultan Iskandar Muda menaiki takhta pada awal April tahun 1607 M (keterangan Bustanus Salatin). Baginda telah melaksanakan pelbagai usaha dan tindakan dalam mengekalkan kekuasaannya. Antara usaha yang dilaksanakan adalah dengan membentuk angkatan perang yang terdiri daripada tenaga-tenaga muda yang sentiasa memberi sokongan yang luar biasa dan melaksanakan penataan pemerintah melalui pembahagian wilayah yang disebut mukim dan membuat Peraturan Perekonomian Negara. Lembaga Negara juga ditubuhkan semasa pemerintahan baginda bagi membantu menyelesaikan masalah-masalah ekonomi dengan lebih efisien. Semasa pemerintahan Sultan Iskandar Muda, ekonomi kerajaan Aceh menjadi lebih kukuh dan stabil dengan produk-produk hasil bumi seperti emas dan lada yang menjadi rebutan orang-orang Eropah.

            Sultan Iskandar Muda merupakan seorang pemerintah yang sangat tegas dalam melaksanakan hukum-hukum agama. Oleh sebab ketegasan baginda, berlaku banyak pemberontakan selepas mangkatnya baginda. Antara bukti yang dapat dilihat bagi membuktikan ketegasan baginda adalah melalui peristiwa Meurah Pupok iaitu anak baginda yang telah dijatuhkan hukuman hudud oleh baginda sendiri di atas kesalahan berzina dengan isteri salah seorang pengawal istana. Pelbagai usaha dan cadangan yang telah diberikan oleh pihak istana kepada Sultan Iskandar Muda bagi meringankan hukumannya tetapi baginda tetap melaksanakan hukuman hudud tersebut. “Mate Aneuk Meupat Jirat, Gadoh Adat Pat Tamita” merupakan ungkapan yang terpahat di makam allahyarham Meurah Pupok yang bermaksud “Mati Anak Boleh Dicari Kuburnya, Tetapi Mati Adat Di mana Lagi Mahu Dicari”. Kata-kata ini sangat masyhur di mana perkataan “adat” bermaksud adat-adat Islam yang dihidupkan di bumi Aceh Darussalam.

            Dari segi hubungan dengan kerajaan-kerajaan luar, sultan telah menjalinkan hubungan diplomasi perdagangan dengan China dan Turki sehingga Aceh menjadi sebuah kerajaan yang makmur. Antara bukti yang dapat dilihat hubungan erat antara Aceh dan China adalah melalui kehadiran kapal-kapal China di Aceh yang menjadikan Aceh sebagai pelabuhan masuk rempah ratus. Selain itu, Loceng Cakra Donya yang dihadiahkan oleh Kaisar Cina juga menjadi bukti hubungan erat antara Aceh dan China. Hubungan antara kerajaan Aceh dan Turki dapat dibuktikan melalui surat yang ditulis oleh Kadi Malikul Adil Syekh Nuruddin Ar-Raniry kepada kerajaan Turki yang disampaikan oleh utusan rombongan Aceh yang dikepalai oleh Panglima Nyak Dum.



            Kepimpinan Sultan Iskandar Muda dikagumi dan diakui kehebatannya bukan sahaja oleh rakyatnya malahan diakui sendiri oleh musuh-musuhnya dan bangsa asing di seluruh dunia. Pemerintahan baginda yang sistematik, teratur serta hubungan baik antara sultan dengan rakyat menjadi faktor mustahak yang menjadikan Kerajaan Aceh menjadi sebuah kerajaan yang agung dan digeruni oleh musuh-musuh Islam serta diangkat menjadi salah satu kerajaan Islam terbesar di dunia.

            Melalui kajian menjejaki sejarah kegemilangan Islam di Banda Aceh yang telah dilaksanakan baru-baru ini, Sultan Iskandar Muda merupakan Sultan kepada Aceh Darussalam yang ke 37. Beliau memerintah Aceh Darussalam dari tahun 1607M hingga 1636M. Beliau merupakan negarawan terkenal yang membawa Aceh ke puncak kejayaan Islam juga telah membuat Qanun Meukuta Alam menjadi Undang-Undang dan Pedoman para pemimpin dan rakyat Aceh Darussalam.

            Bagi Qanun Syarak Al-Asyi yang telah ditulis dan disiapkan pada masa Sultan Alauddin Riayatshah kemudian disempurnakan oleh Sultan Iskandar Muda sekitar tahun 1016H-1608M telah menjadi qanun Meukuta Alam. Dua Qanun bersejarah inilah menjadikan Aceh antara 5 negara Islam terbesar di dunia. Semboyang yang terkenalnya adalah “Aceh Darussalam adalah negeri hukum yang mutlak sah, dan rakyat bukanlah patung yang berdiri ditengah pedang, akan tetapi rakyat seperti pedang sembilan mata lagi besar matanya, yang amat tajam, lagi panjang ke timur dan ke barat”.

Setelah mendapat maklumat tentang Sultan Iskandar Muda, kami segera mengumpulkan segala bukti yang dapat dibuat rujukan untuk di bawa pulang ke Malaysia. Sebelum terjadinya Thunami besar yang melanda Aceh pada tahun 2004, segala bahan sejarah masih tersimpan di tanah Aceh. Maka, bahan yang kami dapat untuk kali ini mungkin tidak selengkap yang terdapat di Banda Aceh itu sendiri. Banyak bahan-bahan sejarah, manuskrip-manuskrip, kitab-kitab Melayu lama yang di bawa arus Thunami ketika itu. Ramai yang terkesan dengan peristiwa tersebut dan apabila kami menyoal beberapa soalan tentang bahan sejarah, mereka lebih merujuk kepada Thunami yang melanda di bumi Aceh. Kami menyimpulkan yang sejarah berlakunya Thunami lebih memberi kesan daripada sejarah Sultan Iskandar Muda itu sendiri kerana peristiwa itu masih baru bagi mereka.



No comments: