salam sayang dan rindu dari saya

Friday 4 September 2015

Misi ke Acheh Selesai...Alhamdulillah..

 “Korang kena buat travelog untuk misi yang dah dibuat. Kalau ada rezeki mungkin terpilih untuk masuk dalam karya majalah”. Antara kata-kata Abang Hakim kepada kami berempat setelah kami bertungkus lumus menyiapkan laporan terakhir misi.

Selalunya kalau selesai sahaja sesuatu majlis besar atau sesuatu perkara yang bersejarah bagi saya, saya hanya akan menceritakan semula detik-detik peristiwa tersebut berlaku. Kemudian pos dekat blog ataupun simpan dalam diari. Tapi, untuk buat travelog tiba-tiba saya rasa tak tahu nak mula dari mana. Kalau buat terlebih, takut banyak pula auta dari fakta. Jadi, tugasan kali ini lain sikit bagi saya, bukan macam diari tapi lebih kepada bahan sejarah yang saya peroleh. Pertama dalam hidup.

Dalam sibuk mencari idea untuk diluahkan dalam penulisan kali ini, saya teringat peristiwa pertama kali sampai di Lapangan Terbang Sultan Iskandar Muda, Banda Aceh. Penggunaan nilai mata wang ribu-ribu menjadikan saya orang yang paling lemah dalam menggunakan duit. Bukan tak pandai mengira, tapi rasa takut nak keluarkan duit, malah rasa takut hendak berbelanja di sana.

“Rasanya tak beli apa-apa kut. Tukar RM 200 je la. Kalau aku tukar banyak, boleh jadi gila aku sorang-sorang”. Aku bermonolong sendirian sebelum ke kaunter untuk menukarkan wang yang aku bawa dari Malaysia.

Selepas mendapatkan teksi di sana, saya segera memberi alamat tempat kami menginap. Dalam keadaan yang masih separuh sedar, saya cuba menghadam kawasan yang saya lalui ketika itu. Situasi yang saya alami rasanya umpama orang yang tengah pening tapi buat-buat waras. Berlakon je lebih. Nak ‘cover’ pening sebenarnya. Semasa dalam teksi, pak cik yang membawa kami menawarkan diri untuk menjadi pemandu pelancong kami dengan bayaran 400 ribu rupiah untuk setengah hari. Dari pukul 9 pagi hingga ke 6 petang. Sukar untuk saya membuat keputusan ketika itu memandangkan jumlah bayaran yang diminta membuatkan saya terkedu seketika. Dalam kepala, saya cuba mencongak berapa ringgit Malaysia kalau 400 ribu rupiah. Memandangkan kepala masih dalam kondisi ‘MODE’, saya mengisyaratkan kepada Khadijah untuk mengira dan membuat keputusan. Dengan kebijaksanaan Khadijah, kami menolak secara baik pertolongan pak cik tersebut. Dalam hati hanya Allah sahaja yang tahu.

“Mahal giler pak cik ni letak harga, mentang-mentang aku ni orang baru di sini, dia main kasar nampak”. Aku bermonolong sendirian.

Perjalanan yang memakan masa selama satu jam itu membuatkan saya tidak dapat melelapkan mata walaupun sejenak. Setiap perjalanan yang dilalui umpama sangat berharga dan bernilai dalam hidup saya. Walaupun pemandangannya sama sahaja jalan nak balik ke utara. Ada sawah padi, ada orang berniaga, ada macam-macam lagi aktiviti yang lebih kurang di Malaysia. Tiba di tempat penginapan, saya cuba melihat keadaan bilik yang disediakan. Reaksi pertama memang agak mengejutkan sebab tandas dan bilik mandi di luar bilik dan dikongsi semua penginap di motel tersebut.

Sementara Khadijah berurusan dengan pak cik motel di situ, saya memberanikan diri melawat bilik mandi yang berada di luar bilik penginapan saya itu. Setelah membuat pemantauan dan penelitian, rupanya ada tangga yang mengarah ke bilik penginap yang berada di tingkat atas.

“Ya Allah, kalau ‘toilet’ kat bawah tangga tempat orang lalu lalang, dah macam ‘free show’ la gamaknya. Kalau orang tu jenguk ke kat bawah, kompom nampak orang duk mandi. Masak aku macam ni”. Sekali lagi aku bermonolog sendirian.

Melihat keadaan yang kurang selesa tersebut, saya segera memberitahu khadijah. Nak cari tempat menginap yang lain pun dah tak cukup duit. Bayaran untuk seminggu di Banda Aceh dah di bayar. Nak minta duit dah segan pula. Jadi, kami memberanikan diri untuk ‘survive’ di tempat tersebut.
“Aku harap ada tempat lain yang boleh aku tinggal. Allah pasti tolong. Miracle always happens”. Aku mula berdoa di dalam hati.

Allah Maha Mendengar. Berkat kesabaran, keesokan harinya kami telah di bawa ke Majlis Adat Aceh bagi tujuan menemu bual Wakil Adat Aceh, Drs. Tgk. H.A. Rahman Kaoy bagi mendapatkan maklumat tentang Sultan Iskandar Muda. Di akhir sesi temubual tersebut kami telah dipelawa untuk tinggal bersama beliau dan isteri di rumah mereka. Saya agak terkejut, tetapi memandangkan penginapan yang kami ada sekarang sangat berbahaya terutama bagi golongan hawa seperti kami, dengan penuh kesyukuran kami menerima pelawaan tersebut dengan hati yang terbuka. Bukan tidak bersyukur dengan apa yang ada, tetapi ‘safety first’ mesti diutamakan. Kami telah di hantar oleh pensyarah dari Universitas UIN merangkap pembantu kami dalam misi menjejak tokoh-tokoh Islam sepanjang kami berada di Banda Aceh ini. Jika tiada pertolongan dari Encik Muhajir Al-Fairusy, kami memang tak tahu hendak dapatkan maklumat yang tepat kat mana.

“Ya Allah, terima kasih atas pertolongan-Mu, semoga misi yang kami galas ini, Engkau bantu hingga ke akhirnya”. Dalam kegembiraan aku berdoa sendirian.

Siri Jejak Sultan Iskandar Muda

Perjalanan menjejak sejarah Kegemilangan Islam pada zaman Sultan Iskandar Muda dan menjejak tokoh yang seiring dengan baginda seperti Syekh Abdurrauf Singkil menjadi misi penting bagi saya dan ahli Dg Tembila yang lain. Walaupun misi menjejak tokoh ini hanya dijalankan oleh saya dan kawan saya, Khadijah, ini tidak melunturkan semangat kami dalam menggalas tugas yang diberi oleh pihak Grup Penjejak Tamadun Dunia (GPTD).

Kalau nak diceritakan tentang kisah Sultan Iskandar Muda secara lebih mendalam, rasanya perlu dibuat kajian selanjutnya mungkin memakan masa selama setahun ataupun lebih daripada itu. Dalam menyusuri jejak-jejak peninggalan Sultan Iskandar Muda ini, saya menemui beberapa orang pengkaji sejarah yang juga mempunyai impian dan misi seperti kami dalam mengkaji sejarah tokoh-tokoh pejuang islam terkemuka zaman dahulu kala. Selain itu, saya juga menemubual beberapa orang tempatan juga orang awam tentang tahap pengetahuan mereka terhadap sejarah Sultan yang begitu hebat ini. Kegemilangan yang telah 400 tahun berlalu ini mungkin sahaja menjadi ingatan oleh beberapa orang lama, atau boleh sahaja sudah dilupakan oleh generasi masa kini.

Sultan Iskandar Muda atau lebih dikenali sebagai Sultan Iskandar Meukuta Alam merupakan pemerintah yang dikenali dengan ketegasannya serta kehebatannya dalam menjalankan hukum-hukum Islam walaupun terhadap anggota keluarga baginda sendiri. Baginda juga masyhur dengan nama Peurkasa Alam kerana keberanian yang dimiliki oleh baginda dalam menegakkan kebenaran dan gelaran ini diberikan oleh sahabat-sahabat baginda ketika baginda dewasa. Masa kecil baginda lebih banyak dihabiskan dalam lingkungan istana dan baginda masyhur dengan nama Raja Zainal atau Raja Silan manakala semasa bayi baginda sering disebut Tun Pangkat Darma Wangsa, (Zainuddin: 1957, 21). Sultan Iskandar Muda diputerakan pada tahun 1953 di Banda Aceh. Baginda memerintah selama 29 tahun dan telah menempa pelbagai kejayaan dalam perluasan kuasa dan hubungan antarabangsa.

Sultan Iskandar Muda dilahirkan pada tahun 1593 di Aceh dan wafat pada tanggal 27 Disember 1636. Baginda berasal daripada keturunan Raja Darul-Kamal bagi sebelah ibundanya dan Raja Mahkota Alam daripada sebelah ayahandanya. Ibunda baginda bernama  Puteri Raja Indra Bangsa atau lebih masyhur dengan nama Paduka Syah Alam manakala ayahanda baginda bernama Sultan Mansur Syah cucu kepada Sultan Alauddin Riayat Shah Al-Qahhar. Sultan Alauddin Riayat Shah Al-Qahhar merupakan salah seorang pemerintah yang tegas dalam melaksanakan perintah Allah walaupun terhadap anggota keluarganya sendiri. Makam Sultan Iskandar Muda terletak di Kompleks Kandang Mas tetapi dihancurkan oleh Belanda dan makam sekarang hanyalah duplikat hasil petunjuk Pocut Meurah, isteri kepada Sultan Mahmudsyah yang sering berziarah ke makam Sultan Iskandar Muda ini.

Sultan Iskandar Muda lebih banyak meluangkan masa di dalam istana di mana pendidikan baginda sangat di titik beratkan agar mendapat pendidikan yang sempurna dan yang terbaik. Sejak usia antara 4-5 tahun baginda telah diajarkan berbagai ilmu pengetahuan. Ketika usianya mencapai baligh, ayahandanya menyerahkannya kepada Teungku Di Bitai (ulama turunan Arab dari Baitul Mukadis) dan diberi gelar Tun Pangkat Peurkasa Syah (Zainuddin, 1957: 27) agar menerima ilmu dengan sempurna.

Kemudian baginda menerima pendidikan daripada ulama-ulama dari Mekah antaranya Syekh Abdul Khair Ibnu Hajar dan Sekh Muhammad Jamani yang merupakan ahli dalam bidang ilmu fiqh, tasawuf dan ilmu falak. Seterusnya baginda menerima pendidikan daripada seorang ulama yang masyhur berasal dari Gujarat iaitu Syeikh Muhammad Djailani bin Hassan Ar-Raniry. Ketiga-tiga ulama ini mempunyai jasa yang sangat besar terhadap pendidikan Sultan Iskandar Muda selain mempengaruhi cara pemikiran baginda.

            Berdasarkan kajian yang telah dijalankan di Banda Aceh, pada tahun 881H, Sultan Salahuddin Syamsu Syah Meukuta Alam telah mengisytiharkan bahawa Aceh adalah kerajaan Islam iaitu sebuah negara yang menegakkan Islam. Hukum syar’ie merupakan tanda aras bagi segala adat yang diberi kebenaran untuk dilaksanakan di Aceh. Segala adat, seni dan budaya masyarakat Aceh harus disesuaikan  dengan syariat Islam. Adat-adat masyarakat Aceh yang seiring dengan hukum syar’ie dikekalkan tetapi bagi adat yang tidak mengikut syar’ie Islam wajib diubah menjadi selari dengan yang dibenarkan syar’ie.

Kesemua Kerajaan Kesultanan Aceh disatukan oleh Sultan Johan Ali Ibrahim Mughayat Shah atau Sultan Ali Mughayat Shah menjadi kerajaan Aceh Darussalam pada tahun 913H iaitu Kesultanan Islam Peureulak, Kesultanan Islam Samudera Pase, Kerajaan Islam Meukuta Alam Banda Aceh atau Kerajaan Islam Linge, Kesultanan Islam Pidie, Kerajaan Darul Imarah Darul Kamal, Kerajaan Islam Banua Tamiang dan Kerajaan Islam Jaya. Madinatul Sultan Banda Aceh (sekarang Banda Aceh) merupakan pusat pentadbiran kerajaan Aceh Darussalam. Sultan Mughayat  Shah putera Sultan Salahuddin Syamsu Shah Meukuta Alam (881H) diangkat menjadi Putera Mahkota merangkap Panglima Perang Islam dan baginda juga merupakan ahli strategi.

            Sultan Alauddin Riayatshah Al-Kahar (datuk Sultan Iskandar Muda dari pihak ibunya) beliau mengundang 70 ulama untuk menyusun sebuah Qanun Pemerintahan Islam di Aceh yang disebut Qanun Syara’ Al-Asyi. Beliau memperkuat angkatan laut, darat dan mengalahkan angkatan laut Portugis yang datang menyerang Aceh dan beliau memperoleh kemenangan.
           
PERNIKAHAN
           
Puteri Gayo merupakan salah seorang isteri kepada baginda Sultan Iskandar Muda. Hasil daripada perkahwinan, baginda dikurniakan seorang putera yang lebih masyhur dengan nama Meurah Pupok. Dalam bahasa Gayo, “Meurah” bermaksud marah dan gaya kalimah ini diguna pakai bagi gelaran Raja-Raja Aceh sebelum kedatangan Islam.

            Seterusnya, baginda juga telah menikahi seorang puteri yang berasal dari Ribee, Pidee, Aceh yang dikenali sebagai Puteri Thani. Hasil daripada perkahwinan ini mereka dikurniakan seorang puteri yang akhirnya menjadi salah seorang Sultanah Aceh iaitu Sultanah Sri Ratu Safiatuddin Tajul Alam. Sultanah Safiatuddin telah berkahwin dengan seorang anak kepada Sultan Ahmad Syah daripada Kesultanan Pahang, Tanah Melayu, yang diberi nama Sultan Iskandar Thani II.
            
Putroe Phang atau Puteri Pahang juga merupakan salah seorang isteri kepada Sultan Iskandar Muda yang dikenali ramai kerana mendalamnya cinta dan kasih sultan kepada Puteri Pahang ini. Putroe Phang ini berasal daripada Kesultanan Pahang dan ada yang mengatakan bahawa puteri ini merupakan adik kepada Sultan Ahmad Syah, Pahang. Nama sebenar puteri ini adalah Puteri Kamaliah. Bukti cinta baginda Sultan Iskandar Muda dapat dilihat pada pembinaan Gunongan. Gunongan ini dibina untuk merawat kesedihan puteri yang terlalu rindukan kampung halamannya yang berbukit-bukau.

            Menurut sumber daripada Drs. Tgk. H.A. Rahman Kaoy, Sultan Iskandar Muda mempunyai empat orang isteri. Isterinya yang pertama bernama Puteri Thani Ratna , iaitu anak kepada Tgk Syeikh Mohd Amin Rebey atau nama sebenarnya Daeng Mansor (Makassar). Hasil perkahwinan tersebut maka lahirlah Meurah Pupok dan Sultanah Sri Maharaja Puteri Sri atau lebih dikenali sebagai Ratu Safiatuddin Syah Tajul Alam. Seterusnya,  isteri kedua beliau ialah Puteri Pahang atau lebih dikenali di Aceh sebagai Putroe Phang. Sekembalinya Sultan Iskandar Muda ke Aceh setelah menikahi Putroe Phang, beliau juga telah mengambil Sultan Iskandar Thani sebagai anak angkatnya. Sultan Iskandar Thani merupakan anak kepada Sultan Ahmad Syah, iaitu Sultan Perak.  Hasil perkahwinan beliau dengan isteri ketiga ,Puteri Asiah mereka  dianugerahkan dengan dua cahaya mata, Malik Abd Jalil dan Raja Asahan ,Tg Baley (raja di Asahan).  Puteri Gayo pula isteri baginda sultan yang ke empat dan tidak dikurniakan cahaya mata.

            Sultan Iskandar Muda menaiki takhta pada awal April tahun 1607 M (keterangan Bustanus Salatin). Baginda telah melaksanakan pelbagai usaha dan tindakan dalam mengekalkan kekuasaannya. Antara usaha yang dilaksanakan adalah dengan membentuk angkatan perang yang terdiri daripada tenaga-tenaga muda yang sentiasa memberi sokongan yang luar biasa dan melaksanakan penataan pemerintah melalui pembahagian wilayah yang disebut mukim dan membuat Peraturan Perekonomian Negara. Lembaga Negara juga ditubuhkan semasa pemerintahan baginda bagi membantu menyelesaikan masalah-masalah ekonomi dengan lebih efisien. Semasa pemerintahan Sultan Iskandar Muda, ekonomi kerajaan Aceh menjadi lebih kukuh dan stabil dengan produk-produk hasil bumi seperti emas dan lada yang menjadi rebutan orang-orang Eropah.

            Sultan Iskandar Muda merupakan seorang pemerintah yang sangat tegas dalam melaksanakan hukum-hukum agama. Oleh sebab ketegasan baginda, berlaku banyak pemberontakan selepas mangkatnya baginda. Antara bukti yang dapat dilihat bagi membuktikan ketegasan baginda adalah melalui peristiwa Meurah Pupok iaitu anak baginda yang telah dijatuhkan hukuman hudud oleh baginda sendiri di atas kesalahan berzina dengan isteri salah seorang pengawal istana. Pelbagai usaha dan cadangan yang telah diberikan oleh pihak istana kepada Sultan Iskandar Muda bagi meringankan hukumannya tetapi baginda tetap melaksanakan hukuman hudud tersebut. “Mate Aneuk Meupat Jirat, Gadoh Adat Pat Tamita” merupakan ungkapan yang terpahat di makam allahyarham Meurah Pupok yang bermaksud “Mati Anak Boleh Dicari Kuburnya, Tetapi Mati Adat Di mana Lagi Mahu Dicari”. Kata-kata ini sangat masyhur di mana perkataan “adat” bermaksud adat-adat Islam yang dihidupkan di bumi Aceh Darussalam.

            Dari segi hubungan dengan kerajaan-kerajaan luar, sultan telah menjalinkan hubungan diplomasi perdagangan dengan China dan Turki sehingga Aceh menjadi sebuah kerajaan yang makmur. Antara bukti yang dapat dilihat hubungan erat antara Aceh dan China adalah melalui kehadiran kapal-kapal China di Aceh yang menjadikan Aceh sebagai pelabuhan masuk rempah ratus. Selain itu, Loceng Cakra Donya yang dihadiahkan oleh Kaisar Cina juga menjadi bukti hubungan erat antara Aceh dan China. Hubungan antara kerajaan Aceh dan Turki dapat dibuktikan melalui surat yang ditulis oleh Kadi Malikul Adil Syekh Nuruddin Ar-Raniry kepada kerajaan Turki yang disampaikan oleh utusan rombongan Aceh yang dikepalai oleh Panglima Nyak Dum.

            Kepimpinan Sultan Iskandar Muda dikagumi dan diakui kehebatannya bukan sahaja oleh rakyatnya malahan diakui sendiri oleh musuh-musuhnya dan bangsa asing di seluruh dunia. Pemerintahan baginda yang sistematik, teratur serta hubungan baik antara sultan dengan rakyat menjadi faktor mustahak yang menjadikan Kerajaan Aceh menjadi sebuah kerajaan yang agung dan digeruni oleh musuh-musuh Islam serta diangkat menjadi salah satu kerajaan Islam terbesar di dunia.
            Melalui kajian menjejaki sejarah kegemilangan Islam di Banda Aceh yang telah dilaksanakan baru-baru ini, Sultan Iskandar Muda merupakan Sultan kepada Aceh Darussalam yang ke 37. Beliau memerintah Aceh Darussalam dari tahun 1607M hingga 1636M. Beliau merupakan negarawan terkenal yang membawa Aceh ke puncak kejayaan Islam juga telah membuat Qanun Meukuta Alam menjadi Undang-Undang dan Pedoman para pemimpin dan rakyat Aceh Darussalam.

            Bagi Qanun Syarak Al-Asyi yang telah ditulis dan disiapkan pada masa Sultan Alauddin Riayatshah kemudian disempurnakan oleh Sultan Iskandar Muda sekitar tahun 1016H-1608M telah menjadi qanun Meukuta Alam. Dua Qanun bersejarah inilah menjadikan Aceh antara 5 negara Islam terbesar di dunia. Semboyang yang terkenalnya adalah “Aceh Darussalam adalah negeri hukum yang mutlak sah, dan rakyat bukanlah patung yang berdiri ditengah pedang, akan tetapi rakyat seperti pedang sembilan mata lagi besar matanya, yang amat tajam, lagi panjang ke timur dan ke barat”.

Setelah mendapat maklumat tentang Sultan Iskandar Muda, saya segera mengumpulkan segala bukti yang dapat dibuat rujukan untuk di bawa pulang ke Malaysia. Sebelum terjadinya Thunami besar yang melanda Aceh pada tahun 2004, segala bahan sejarah masih tersimpan di tanah Aceh. Maka, bahan yang saya dapat untuk kali ini mungkin tidak selengkap yang terdapat di Banda Aceh itu sendiri. Banyak bahan-bahan sejarah, manuskrip-manuskrip, kitab-kitab Melayu lama yang di bawa arus Thunami ketika itu. Ramai yang terkesan dengan peristiwa tersebut dan apabila saya menyoal beberapa soalan tentang bahan sejarah, mereka lebih merujuk kepada Thunami yang melanda di bumi Aceh. Saya menyimpulkan yang sejarah berlakunya Thunami lebih memberi kesan daripada sejarah Sultan Iskandar Muda itu sendiri.

“Yela, dah aku tanya pasal kisah lampau, mestilah diorang ingat kisah yang pahit tu. Tak mustahil ramai yang terkedu dan menangis ketika menceritakan kisah lampau tersebut. Susah juga nak dapatkan maklumat yang tepat ni kan. Memandangkan ramai orang tua-tua yang telah meninggal dunia dan masih trauma dengan peristiwa yang berlaku. Esok aku tanya lagi tapi tukar sikit soalan”. Bebel aku sendirian.

Dalam masa yang begitu singkat, saya dapat melawat beberapa tempat yang menarik di Aceh dan telah menyusuri beberapa tempat bersejarah yang dapat dijadikan sebagai bahan rujukan dalam misi ini. Antara tempat yang dilawati adalah Masjid Raya Baiturrahman, Komplek Makam Sultan Iskandar Muda, Komplek Makam Kandang Meuh, Pusat Dokumentasi dan Informasi Aceh (PDIA), Rumoh Aceh, Taman Putroe Phang, Pintoe Khop, Gunongan, Bangunan Majlis Adat Aceh, Kapal di atas rumah Lampulo, Makam Meurah Pupok Kerkhof, Perpustakaan Kuno Tanoh Abee, Museum Tsunami Banda Aceh, Taman Shulthanah Shafiatuddin, Kapal PLTD Apung, Makam Sheikh Abdul Rauf Singkil, Masjid Tuha Indrapuri, dan Taman Sultanah Shafiatuddin. Tempat-tempat yang dilawati semestinya berkaitan dengan tiga kajian yang dijalankan bagi mendapatkan kesahihan dan maklumat dengan lebih tepat.

Siri Jejak Sheikh Abdur Rauf Singkel

“Makam kat tepi laut? Biar betul. Tak dapat aku bayangkan. Kalau tepi laut mestilah terhakis kalau lama-lama kena air masin. Aku kena tengok sendiri makam Syiah Kuala ni, kalau tak, pening aku duk buat kesimpulan sendiri.” Aku bermonolog sendirian sebelum bergerak ke Makam Syiekh Abdur Rauf Singkel.

Tiba di kawasan luar makam, pintu pagar utama dikunci. Menurut Encik Muhajir, hari tersebut bukan hari untuk melawat.

“Kalau tak masuk hari ni, bila lagi nak masuk. Mana sempat dah nak pergi lain kali.” Gumamku dalam hati.
Kereta yang dipandu Encik Muhajir di berhentikan di bawah sepohon pokok yang rendang. Saya keluar dari kereta dan meninjau kawasan dalam makam. Saya berharap ada orang yang datang dan membenarkan kami masuk ke dalam. Tanpa di duga, Encik Muhajir sendiri melangkah pagar besi yang terdapat di kawasan sekitar makam. Terkedu sebentar.

“Dia langkah pagar ni? Biar betul? Boleh ke? Kena tahan karang. Dah la aku pakai kain ni. Kalau nak langkah pun, time aku pakai track ok la juga.” Gumamku sendirian sambil mata melilau disekitar kawasan dan dengan pantas aku melangkah pagar yang ada.

“ Yes, berjaya juga.” Aku ketawa sendirian. Gelagat macam orang pecah rumah, tapi niat baik sebab nak dapatkan maklumat. Bukan nak mencuri. Semasa melihat makam-makam yang terdapat di sekitar kawasan tersebut, saya segera mengeluarkan kamera untuk mengambil gambar. Nasib baik, saya dah petik banyak gambar. Tiba-tiba, saya dikejutkan dengan kemunculan penjaga makam di situ. Katanya tempat tersebut tidak dibenarkan untuk mengambil gambar kecuali di izinkan.

“Kena minta izin pula dah. Aku dah kesuntukan masa. Penat dengan panas membahang lagi. Sabar banyak-banyak.” Aku mengeluh di dalam hati. Setelah mendapat keizinan dan meyakinkan penjaga makam tersebut yang kami ingin membuat dokumentasi tentang Syiah Kuala, baru beliau memberi kebenaran untuk mengambil gambar dan membuat video rakaman.

“Nasib baik aku buat bisnes card, kalau tak mesti pak cik ni tak percaya.” Aku melepaskan nafas lega setelah memberikan bisnes card kepada beliau.

Atas usaha penat lelah menemu ramah penjaga makam tersebut, hasil yang saya dan sahabat peroleh, dijadikan sebagai bahan untuk dibuat penambahbaikan.

Menurut maklumat yang diperoleh, Sheikh Abdur Rauf Singkel, atau ditulis Abdur Al-Ra'uf Al-Sinkili juga turut dikenali sebagai Syeikh Kuala. Beliau merupakan seorang ulama besar dalm sejarah Islam di Nusantara. Beliau juga digelar dengan "Tengku Syiah Kuala". Gelaran ini popular dalam kalangan masyarakat setempat. Pada awalnya, gelarannya disebut sebagai "Tengku Syeikh di Kuala" kerana keilmuannya dalam bidang agama. Tetapi masyarakat memudahkan sebutan gelaran itu kepada Syeikh Kuala dan seterusnya berubah pengucapan menjadi "Syiah Kuala". Beliau seorang ulama produktif dalam menghasilkan karya intelektual. Berdasarkan hasil temu ramah bersama penjaga makam Syeikh Kuala, Tgk. Abdul Wahid, Syiah Kuala dilahirkan pada tahun 1001H/1591M. Ia juga dapat dibuktikan melalui gambar Sheikh Abdur Rauf Singkel yang terdapat di sekitar makam tersebut. Seterusnya, beliau wafat pada Isnin, 23 Syawal 1106H/1696M. Beliau dimakamkan di Kuala Sungai Aceh, desa Deyah Raya Kecamatan Kuala. Di samping makam Syeikh Kuala terdapat juga makam anak–anak murid beliau yang di kenali sebagai Ibrahim, Syeikh Abdul Rahman dan Syeikh Abdul Wahid.

Di samping itu, beliau juga terkenal sebagai pembawa tarekat Syattariyah ke Indonesia. Tarekat Syattariyah sendiri mulai muncul di India pada abad ke-15. Nama Syattariyah dinisbahkan kepada tokoh yang mempopularkan dan berjasa mengembangkannya, iaitu Abdullah Al-Syattar. Tarekat Syattariyah pernah menduduki posisi penting lantaran tarekat ini merupakan salah satu tarekat yang besar pengaruhnya di dunia Islam. Di Indonesia, tarekat ini lalu dikembangkan oleh Sheikh Singkel. Sheikh Singkel kembali ke Aceh sekitar tahun 1083 H/1662 M dan mengajarkan serta mengembangkan tarekat Syattariah yang diperolehnya di Tanah Arab. Kemudian, namanya diabadikan pada perguruan tinggi di Banda Aceh iaitu Universitas Syiah Kuala.

Pendidikan pertama Singkel diperoleh di tempat kelahirannya, Singkel, terutama daripada ayahnya yang merupakan seorang ulama besar. Ayahnya mempunyai sebuah pesantren. Beliau telah menimba ilmu di Fansur, kerana ketika itu negeri ini menjadi salah satu pusat Islam penting di Nusantara serta merupakan titik hubung antara orang Melayu dan kaum Muslim dari Asia Barat dan Asia Selatan. Menurut kajian lain, Abdul Rauf mendapat pendidikan awal di India sebelum melanjutkan pengajiannya di Makkah dengan Sheikh Abu Hafas Umar bin Abdullah Ba Shaiban.

Sheikh Abdul Rauf Al-Singkili lalu merantau ke Tanah Arab pada tahun 1642 dan belajar selama 19 tahun dengan 27 ulama yang ahli dalam berbagai disiplin Ilmu Islam. Beliau merantau hampir ke seluruh Tanah Arab seperti Doha, Yaman, Jeddah, Makkah dan Madinah untuk menimba ilmu. Pengetahuannya mencakupi dalam bidang syariat, fiqh, hadith, ilmu kalam dan tasawuf. Dengan ilmunya yang meluas, beliau dikatakan pernah juga mengajar di Makkah dan Madinah, terutama bagi murid-murid yang berasal dari Nusantara. Sekembaliya ke Aceh, beliau bermukim di Kuala sebuah tempat yang jaraknya 15 km dari Banda Aceh.

Berdasarkan kajian yang telah dilaksanakan di Banda Aceh, terdapat beberapa maklumat tambahan mengenai latar belakang pendidikan Singkel. Menurut penjaga makam, beliau menyatakan bahawa Syeikh Kuala telah pergi menuntut ilmu di Barus dan berguru dengan Hamzah Fansuri. Kemudian, beliau berkelana ke Mekah untuk berguru dengan beberapa orang ulama di sana selama 19 tahun.

Antara gurunya :
*      Zabid               :Abd Al-Rahim al-Shiddiq Al-Khash, Amin Al-Shiddiq al-Mizjaji
:Abd Allah Muhammad Al-Adani.
:Abd Fatah Al-Khash,
:Sayyid al-Thahit Al-Maqassari,
:Qadhi Muhammad Abi Bakr Muthayr
:Ahmad Abu Al-Abbas al-Muthayr
*      Jeddah             :Abd Al-Qadir Al-Bharkali
*      Makkah           :Badr Al-Din al-Luhuri
:Abd Allah Al-Luhuri
                                    :Ali Abd Al-Qadir
*      Madinah          :Ahmad Al-Qusyasyi
                                    :Ibrahim al-Kurani.

Kebanyakan hasil karya beliau ditulis dalam bahasa Melayu dan dikarang semasa beliau berada di India, Pahang, dan Aceh. Kebanyakan hasil karya beliau tidak dapat dikesan lagi, tetapi antaranya adalah :-

  • manuskrip Mir’at at-tullab fi tashil ma’rifat al-ahkam a’sh shar’iyyah li malik a’l-wahhab yang disusun di atas permintaan Taj u’l-‘alam Safiat-u’d-din, Permaisuri Aceh (1641-1675). Satu salinan terdapat di Universiti Leiden dan Batavia.
  • Komentar Baidawi pada al-Quran yang kemudiannya diterbitkan pada 1884.
  • Umdat al-muhtajin yang merupakan sebuah kitab zikir kearah kesufian. Termasuk gambaran dan cara pengarang-pengarang ternama mendapat pengetahuan.
  • Kifayat al-muhtajin yang membincangkan mengenai ilmu tasawuf termasuk mengulas mengenai kitab-kitab A’yan thabitah, Kitab mau’izat al-badi, Iidhahul bayaani fi tahqiqi masaail a’yaani, Ta’biirul bayaani, dan lain-lain.
  • Sirat al-mustaqim yang merupakan kitab fikah pertama dikesan, dalam bahasa Melayu. Cetakan pertama sekali diteliti (tasyhih) oleh Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani dan dicetak di Turki. Ia kemudian dicetak sebagai bab dalam Sabil al-muhtadin dan digunakan sehingga kini.
  • Bas-u samawati wal ardi yang dicetak sebagai bab dalam kitab Taj al-mulk
  • al-Fawaid bahiyah yang dicetak sebagai bab dalam kitab Jam’u al-fawaid.
  • Asrar al-insani fi ma’rifat al-ruh al-rahman
  • Hujjah al-siddiq li daf’i al-zindiq
  • Tibyan fi mi’rifah al adyan
  • Bustan al-salatin dalam tujuh jilid
  • Hill al-Zill
  • Ma’al-hayatiyi li ahli al-mamat
  • Tarjuman al-Mustafid, kitab terjemahan ayat al-Qur’an dengan tafsirnya. Tafsir di dalam kitab ini sumbernya adalah dari kitab Tafsir al-Jalalayn dan lain-lain.
  • Syarah Hadith 40, kitab syarahan Hadith dari kumpulan kitab Hadith 40 yang dikumpul oleh Imam an-Nawawi.
Oleh kerana ilmu yang dimilikinya meluas, Sultanah Shafiyyat Al-Din telah melantik Singkel menjadi Qadhi Malik Al-'Adil atau mufti yang bertanggungjawab terhadap administrasi masalah keagamaan di kesultanan Aceh. Dengan dukungan Sultanah, Singkel berhasil menghapus ajaran Salik Buta, tarekat yang sudah ada sebelumnya. Selain itu, terdapat satu kontroversi yang melibatkan Sheikh Abdur Rauf berkenaan penentangan Nuruddin Al- Raniri terhadap Hamzah Fansuri kerana perbezaan tarekat. Hal ini kerana Al-Raniri membawa ajaran wujudiyyah dan mengatakan Hamzah Fansuri sebagai sesat.  Berdasarkan kajian kami, tiada bukti kukuh yang menyatakan peristiwa ini berlaku.


















Masa yang begitu suntuk dapat saya manfaatkan dengan baik kerana semua bahan sejarah yang hendak dicari telah diperoleh dengan jayanya. Berkat bantuan daripada masyarakat Aceh serta beberapa orang pengkaji sejarah di sana, dengan mudah kami mengumpulkan maklumat. Tiga hari masa yang terluang, kami ambil untuk berkenalan dengan sekitar penduduk di tempat saya tinggal. Jiran-jiran ramah belaka, baik pula. Juadah berbuka puasa kerap kali bertukar tangan. Rasa seronok tinggal di sana. Kanak-kanak di sana pula, hanya kenal Upin dan Ipin sahaja. Melihat daripada kerenah dan gelagat mereka, saya dapat simpulkan yang mereka suka dengan watak Upin Ipin sehinggakan meniru gaya bahasa dan percakapan orang Malaysia.

“Dua singgit, dua singgit, dua singgit”. “Selamat pagi cikgu.” Antara dialog yang kedengaran bermain di bibir kanak-kanak disekitar kawasan perumahan tersebut. Tersenyum aku sendirian. Berat hati rasanya mahu meninggalkan tanah Aceh ini. Memandangkan tugasan yang di galas telah pun selesai di sana, maka hari untuk meninggalkan bumi Aceh kian menjelma. Kenangan di sana tidak akan saya lupakan sepanjang usia saya. Semoga Tuhan sentiasa merahmati mereka yang memberi pertolongan serta yang menghulurkan bantuan. Amin.