salam sayang dan rindu dari saya

Monday 6 February 2017

1) Acheh 2 - Pengembaraan Bermula

Assalamualaikum wbt...Ya Allah, terasa lama benar menunggu ahli2 DGT 2 punya travelog ni. Mana pi semua orang ni? Tunggu punya tunggu akhirnya aku yang keluarkan travelog merepek aku ni dulu. Jangan tiru naaaa...hehehe... Kisah pengembaraan aku untuk kali kedua ke Banda Acheh. Pengalaman kali ini sangat menarik. Sebab apa??? Kenalah baca dulu. Kantoi la bagi tau awai-awai...Maka tersebutlah sebuah kisah.....



Tepat jam 5.30 pagi, alarm telefon bimbit aku mula kedengaran. Lagu ‘I lay my love on you’ nyanyian kumpulan Westlife melenyapkan mimpi-mimpi indah aku ketika itu.

“Ok ! Ok! Aku bangunlah ni.” Kata aku sambil menggapai telefon bimbitku yang berada di hujung kakiku ketika itu. Sengaja aku meletakkan telefon tersebut jauh dari telinga, kerana lagi jauh bunyi sesuatu lagi cepat aku bangun.

Aku mengaplikasikan keadaan sebegini kerana aku pernah terbaca suatu artikal yang menyatakan untuk mudah bangun awal jam loceng harus diletakkan di sudut yang jauh sedikit daripada telinga atau tangan. Menurut artikal tersebut jika diletakkan disebelah telinga, kita akan mudah untuk mencapai jam loceng tersebut dan terus menutupnya. Alhamdulillah, setelah dibuat beberapa kali experiment terhadap diri sendiri, memang ia sangat berkesan.

Sedari yang aku masih lagi dalam keadaan mamai, aku bangun dan duduk sebentar sambil menggapai botol air mineral yang berdekatan dengan tilam yang aku tidur.

“Alhamdulillah, air masak juga yang sedap.” Kata aku ketika menelan air mineral tersebut sehingga separuh. Amalan minum air kosong pada awal pagi memang sudah menjadi kebiasaanku dari dulu hingga sekarang. Katanya baik untuk kesihatan. Kalau tak dak air masak boleh sasau sat la. 

Dalam keadaan mamai tersebut rupa-rupanya aku tertidur semula sambil duduk tadi. Aku tengok jam sudah menunjukkan jam 6 pagi.

“Alamak! Aku dah lambat ni.” Dengan pantas aku mencapai tuala dan terus ke bilik mandi.
Punyalah laju aku bangun, terus mandi dan bersiap-siap ambil wuduk. Dah siap mandi, aku tengok semula jam tangan aku.

“Ehhh...Pukul 5.50 pagi?” Aku terkejut dan cuba mencari telefon bimbit aku semula. Mungkin juga jam tangan aku dah mati. Memang betul pun pukul 5.50 pagi. Aku yang terkejut terlebih tadi. Patutlah aku tengok kawan-kawan aku masih lagi nyenyak tidur. Apalagi, terus capai sejadah buat solat sunat subuh dan terus solat subuh.

Seusai solat subuh, aku lihat ahli-ahli kumpulan aku sedang bersiap-siap mengemas barang mereka. Ada yang menunggu giliran untuk mandi, ada yang sedang solat dan ada juga yang masih mamai. Macam-macam ada.

“Lekas-lekas bersiap. Jangan duk berangan. Sekarang pukul berapa dah.” Aku mengingatkan ahli-ahli tersebut. Kali ini aku merupakan mentor kepada kumpulan aku ini. Diskusi Grup Tembila 2 (DGT2) merupakan kesinambungan kepada pengambilan ahli baru ketika aku berada di Universiti Sultan Zainal Abidin, Tembila Besut, Terengganu.

Memikirkan yang DG Tembila (DGT) sudah kehabisan ahli-ahli GPTD, aku mengambil inisiatif bersama beberapa orang sahabat aku dari DG Tembila untuk mencari ahli baru bagi menyambung tugas kami kelak. Memandangkan ahli-ahli dari DGT sudah ramai yang tamat belajar, aku meminta kebenaran dari GPTD Pusat untuk membuka kaunter baru bagi ahli di UniSZA Tembila.

Pada awalnya memang GPTD sendiri agak keberatan kerana bukan musim pengambilan ahli baru, tapi memandangkan aku sudah dapat mencari beberapa orang ahli yang berminat dengan aktiviti relawan ini, akhirnya berjaya juga di buka kaunter pada Hari Biotech di Kampus UniSZA Tembila. Makanya terlahirlah seramai 22 orang ahli baru yang berdaftar. Separuh daripada ahli dipecahkan kepada dua kumpulan. Kumpulan yang pertama bersama aku sekarang.

Setelah siap mengemas barang dan membersihkan rumah Abang Epah, kami terus bergerak ke HQ. Aku meminta Zubaidah untuk menelefon Hanif bagi memberitahu yang kami sedang bergerak ke HQ. Bukan apa, takut kalau-kalau dia masih tidur.

“Kak, Abang Hanif tak angkat call la.” Zubaidah memberitahu aku.

“Call sampai dia angkat.” Aku meminta Zubaidah untuk terus menelefon Hanif.

“Dia dengar kuliah subuh kut.” Aku menggumam di dalam hati. Kebetulan aku dengar suara orang memberi tazkirah di Masjid As-Syakirin ketika itu. Bersangka baik itu penting.

Tiba di Pejabat GPTD, tiada satu pun kelibat yang kelihatan. Aku dan ahli yang lain terus masuk ke pejabat, memandangkan pintu tidak berkunci.

“Ni mesti duk dalam bilik ni.” Kata aku dalam hati. Aku terus mengemas barang-barang yang hendak di bawa ke Aceh. Baju yang sudah dipakai aku tinggalkan sementara nanti pulang aku ambil semula.

“Passport ada. Ok! Settle. Angpa jangan lupa passport ye. Nanti kena tinggal kalau tak dak.” Aku cuba memeriksa barang-barang penting dan mengingatkan ahli-ahli yang lain sebelum bergerak ke KLIA 2.

Zubaidah atau nama manjanya Zue telah ditugaskan untuk menempah Uber bersama Farha. Mereka berdua turun ke tingkat bawah untuk segera memeriksa uber yang berdekatan. Uber seakan teksi tapi bukan teksi. Lebih murah dari teksi. Cara nak mencari uber semuanya dengan menggunakan aplikasi di telefon bimbit. Aku kurang mahir dalam bab ni kerana telefon aku biasa-biasa je, bolehlah nak mesej dan call.

Dalam 10-15 minit uber yang di minta tiba di hadapan kami. Dua buah kereta yang berlainan datang mengambil kami untuk ke KLIA 2. Aku, Ilma dan Zue menaiki uber Saga manakala Bibah dan Farha menaiki uber Axia. Kereta yang kami naiki dipandu oleh wanita cina dalam lingkungan 26 tahun. Sekali imbas gaya dan penampilan macam lelaki. Tiba-tiba whatapp telefon aku berbunyi. Segera aku buka takut-takut Bibah atau Farha yang hantar mesej.

Akak, yang driver cina ni, perempuan kan?” Satu mesej di whatapp group masuk. Dari ilma rupanya.

“Yelah... Perempuan. Jangan cakap ang ingat dia lelaki?” Aku sengaja menebak Ilma dengan nada bergurau.

“Tak de lah. Ilma nak kepastian.” Whatapp group berbunyi aktif ketika ini. Aku ketawa kecil. Memang sah-sah lah wanita. Tengok pun dah tahu walaupun memang nampak macam lelaki. Kami berhenti di stesen minyak Shell untuk mengisi minyak kereta. Wanita cina tersebut meminta kami menunggu sebentar sementara dia mengisi minyak keretanya.

Melihat suasana pagi yang sesak di Kuala Lumpur membuatkan aku berniat untuk tidak kerja di sini. Pembangunan memang maju belaka, tapi bagi aku tiada ketenangan di sini. Kata je tak mau, tapi kalau dah dapat kena mai juga KL ni. Apa boleh buat.

Mission start!!!



Menerima dan Menolak. Apa pilihan kita?

Assalamulaikum wbt dan selamat pagi (1.32 a.m)


Rindu rasanya untuk meluahkan isi hati di sini. Banyak kisah suka dan duka sepanjang menjadi silent person ni. Kisah perit yang hanya Allah sahaja yang tahu. Betapa manusia ini penuh dengan penipuan, begitu juga dengan dunia ini. Penuh kepalsuan. Kata orang2, hidup ini juga bukan untuk memuaskan hati semua orang. Tapi orang2 sekalian silalah prihatin pada orang2 sekeliling anda juga. Hari ini kita sakiti dia, esok lusa hal yang sama akan berlaku pada kita. Jadi bila semua ini akan berhenti? It keep cycle. Hal yang sama akan berulang2 selagi kita tidak menghentikannya. Pagi semalam, ketika kelas ethics berlangsung, aku diberi topic tentang bagaimana untuk menolak permohonan seseorang yang pada awalnya kita yang mula mengajak dia untuk turut sama menyertai kita. Boleh dikatakan buat apa pun bersama2. Tapi, bila dah dipilih tiba2 dia tidak mengena dengan perspektif yang kita mahukan. Sebabnya lepas dah terima dia untuk sertai kita, kita jumpa pula dengan orang lain yang memang sepadan dengan perspektif yang kita cari. Jadi soalannya, macam mana kita nak tolak orang pertama tadi supaya tidak terhiris hati atau tersinggung dengan kita?? Alamak? Susah kan kalau kita yang berada dalam situasi tersebut? Tapi bagaimana pula kalau kita berada di tempat orang yang nak kena reject tadi tu? Macam2 persoalan bermain di minda ketika itu. Apa aku nak buat dalam situasi yang memang nampak pada awalnya salah kita juga. Bukan nak pilih dulu kan? Ini main terjah je amik, dah tak nak, nak buang plk. Dah macam barang kan? Jadi kita tak nak ada yang  berselisih faham sebab puncanya adalah salah manusia itu sendiri. Aku pun tak dapat nak jawab soalan tersebut. Apa yang aku boleh jawab adalah “Apa yang terjadi tak akan dapat diputarkan balik. Masa yang berlalu tak akan dapat diundur. Salah yang dibuat tak dapat dipadam kerana kita akan rasa menanggungnya beban bersalah itu sampai bila2 walaupun orang yang memberi maaf itu bermanis muka.” Susahnya soalan ni. Mungkin aku boleh jawab, “plis consider about other person feeling becoz they really looking forward.” Ke spe2 ada jawapan yang munasabah untuk dikongsi bersama2? This assignment really tough lahhh. Aku blur sekejab. 

Wednesday 14 September 2016

DG Tembila - 8) Warna-Warni Masyarakat Aceh


Encik Muhajir membawa kami melawati pelbagai tempat di sekitar Banda Aceh. Beliau banyak memberikan maklumat kepada kami sepanjang menjadi ‘tour guide’ dalam mendapatkan maklumat tentang dua tokoh yang kami ingin kaji.

Selain itu, beliau juga membawa kami melawat tempat-tempat yang terkena tsunami pada tahun 2004. Antara pengalaman yang paling tidak dapat dilupakan adalah ketika berjumpa dengan Puan Razimah yang berkongsi kisah tragedi tsunami yang menimpa keluarga beliau di Kuburan Turki. Kemudian apabila berjumpa dengan orang sumber yang lain, mereka juga tetap akan menyelitkan tentang kisah tsunami. Ada yang bercerita sambil menangis kepada kami. Aku pula kalau orang bercerita sedih je mesti keluar air mata punya. Aku tumpang simpati dengan kejadian yang menimpa kepada setiap ahli keluarga mereka.




Apa yang menariknya Aceh ini adalah, mereka begitu menghormati tetamu. Terutama sekali dari Malaysia. Semasa berjumpa dengan Ummi di Zawiyah Tanoh Abee, beliau mengatakan bahawa arwah suaminya sangat suka akan orang Malaysia.




“Ummi pun tak tahu kenapa abu suka benar dengan orang Malaysia.” Kata ummi ketika kami melawat beliau bagi melihat manuskrip kuno di sana.

“Setiap kali orang Malaysia datang, abu akan layan dengan baik. Orang Malaysia juga banyak yang membantu kalo nak di bandingkan dengan orang Aceh. Sebab itu hubungan kami dengan Malaysia itu baik. Kalo 1000 orang Malaysia itu mungkin hanya ada 1 yang tidak baik, tapi kalo orang Aceh itu umpama 1000 yang tidak baik 1 aja yang baik.” Sambung ummi lagi.

Encik Muhajir membawa kami melawat sekitar Banda Aceh dengan menaiki kereta beliau. Katanya di Aceh ini terdapat banyak bahan yang perlu dikaji oleh anak muda. Beliau juga sangat kagum dengan kami yang sanggup datang ke Banda Aceh semata-mata untuk mengkaji sejarah Islam walhal, masyarakat Aceh itu sendiri pun kurang mengambil tahu hal tersebut.

Aku kurang pasti dengan kenyataan tersebut, tetapi apabila sudah keluar dari mulut tuan punya badan mungkin ada betulnya. Perjalanan kami sepanjang berada di Aceh ini penuh dengan cabaran. Cabaran pertama adalah bergerak di bulan puasa. Penat dan dahaga cepat terasa. Sampaikan ada satu tahap aku sendiri terasa nak pengsan. Cabaran kedua adalah suhu panas di sana. Kata Encik Muhajir, suhu sekarang adalah 39oC. Patutlah aku dan Khadijah terasa bahang. Cepat sungguh letih. Cuaca yang terlalu panas menyebabkan kami bergerak hanya setengah hari sahaja. Selepas pukul 3 petang kami terus pulang.

Pada sebelah malamnya, kami akan pergi solat teraweh bersama Ibu dan Ayah. Apa yang menarik sepanjang teraweh di sini adalah di setiap masjid yang kami lalui pasti dipenuhi dengan masyarakat yang datang untuk solat teraweh.





“Wow..terbaikkkklahhhh..” Hanya itu yang terluah dari mulut aku ketika itu. Perasaan kagum melihat betapa ramainya orang yang memenuhi masjid membuatkan aku terasa hendak menangis. Terbayang di kotak fikiran aku ketika itu adalah perbezaan antara solat teraweh di Aceh dan di Malaysia. Lebih spesifik solat di tempat aku.

Masjid Oman atau dengan nama Masjid Agung Al-Malmur, menjadi tempat kami untuk menunaikan solat fardhu dan solat teraweh. Perkara yang paling aku suka tentang solat di sini adalah aku boleh melihat kepelbagaian warna warni wanita yang bersolat.




“Cantiknya telekung diorang!!!” Perasaan teruja aku ketika melihat warna-warni solat di sini. Kalau di Malaysia, kita akan lihat wanita yang bersolat akan memakai telekung warna putih sahaja, telekung berwarna sikit-sikit sahaja, tapi kalau di Aceh boleh di katakan majoriti wanita akan memakai telekung berwarna. Ada yang bercorak batik dan ada yang bercorak bunga. Semuanya nampak cantik. Kanak-kanak pula turut datang memenuhi saf yang ada. Paling menarik mereka ini memakai telekung bergambar ‘princess’, ‘angry bird’, ‘hello kitty’ dan banyak lagi.

“Mungkin ini cara ibu bapa nak tarik anak-anak datang masjid.” Fikir aku positif.

Alhamdulillah. Aku bersyukur kerana aku berpeluang menjalankan ibadah puasa di Aceh. Memang pada asalnya kami kekurangan baget untuk melaksanakan misi. Makanya kami memilih bulan puasa bagi mengurangkan kos makan dan minum. Tak sangka pula aku bahawa pengalaman berpuasa di perantauan membuatkan aku lebih berfikiran terbuka.

Semasa Encik Muhajir membawa kami melawat Masjid Raya Baiturrahman, aku lihat ramai orang yang datang berkunjung. Fikir aku, mungkin mereka sedang bersiap untuk solat Zohor. Itu baru pandangan luar masjid. Apabila menjejakkan kaki ke kawasan perkarangan masjid, lagi ramai orang yang lalu lalang di situ. Masuk ke dalam masjid pula, lagi mengejutkan aku ketika itu. Masjid Raya Baiturrahman yang begitu besar dipenuhi dengan masyarakat yang datang dari pelbagai pelusuk.





“Ketika bulan puasa ramai ustaz dan ustazah yang datang untuk mengajar anak-anak di sini. Ada yang dibuat kelas mengaji, fardhu ain dan sebagainya.” Terang Encik Muhajir kepada kami.

Melihat situasi itu baru aku dan Khadijah mengerti kenapa ramai jemaah yang berada di Masjid Raya itu. Setiap kali masuk solat fardhu juga, kelihatan masyarakatnya akan segera menuju ke masjid. Kalau ada yang sedang berniaga, akan di letak papan tanda menyatakan yang mereka sedang solat.
“Awesome.” Satu patah perkataan yang terkeluar dari mulut aku ketika itu.

Di Aceh juga, kami dapat melihat bagaimana jalan raya akan sesak dengan ribuan manusia yang pergi dan balik daripada aktiviti harian mereka. Kalau di Malaysia jalan sesak orang jarang hon, sebab memang dah tahu tu sesak. Bunyi hon masa pemandu depan leka layan telefon bimbit ataupun pemandu yang tak berhemah sahaja. Tapi, lainnya di Aceh, semua yang membawa kenderaan mesti akan bunyikan hon. Jalan raya buat macam jalan sendiri dah aku tengok. Ada yang ke kanan, ada pula yang ke kiri dan ada juga yang berada di tengah-tengah jalan raya. Takde yang marah pun.



“Di sini semua orang kena bunyikan hon, kalau tidak mesti orang akan marah.” Kata Encik Muhajir kepada kami berdua.

“Eh, terbalik pula dengan Malaysia. Kalau bunyi hon tu tanda orang marah.” Kata aku dalam hati.

“Sebab kenapa kena bunyikan hon itu adalah kerana mereka mahu bagi tahu yang mereka mahu jalan dahulu. Jadinya, orang lain akan memberi laluan kepada pemandu itu.” Sambung Encik Muhajir lagi.

Barulah kami faham situasi dan keadaan di Negara orang. Lain tempat lain caranya. Pada pandangan aku, rata-rata masyarakat di sini menghormati antara satu sama lain ketika di jalan raya. Mereka akan memberikan laluan kepada sesiapa sahaja. Tak kiralah motorsikal atau pun kereta. Semuanya saling memahami. Kalau ada motorsikal yang hendak melintas, kereta yang di pandu laju dari jauh pun akan memperlahankan kenderaan mereka semata-mata untuk memberikan laluan kepada yang lain.

“Encik Muhajir, di sini saya jarang nampak kereta yang kecil, semuanya besar-besar. Orang kayakah mereka ini?” Soal aku ketika kami dalam perjalanan ke Taman Putroe Phang.

“Owh ya. Di sini semua orang pakai kereta besar-besar kerana mereka itu tidak suka kereta yang kecil. Kereta yang besar lebih selesa bagi mereka. Kalau yang kecil itu sempit dan kurang selesa.” Terang Encik Muhajir kepada kami dengan panjang lebar.



Barulah aku faham dengan keadaan di sini. Jadi kalau ada yang nak berkereta besar, kahwinlah dengan orang Aceh. Kereta mereka memang besar dan selesa.

Sunday 11 September 2016

DG Tembila - 7) Iskandar dan Puteri Pahang


Dalam kajian kami kali ini, kami di bawa oleh Encik Muhajir ke setiap destinasi yang telah di rancang. Bersyukur juga kerana ada yang dapat menolong kami di sini. Siapa sangka, rupa-rupanya Encik Muhajir ini adalah seorang pensyarah di Universitas Islam Ar-Raniry (UIN). Beliau juga merupakan generasi ke-9 Zawiyah Tanoh Abee yang merupakan tempat paling suci dan menyimpan jutaan manuskrip lama di sana. Menurut beliau juga Zawiyah Tanoh Abee adalah Perpustakaan kuno yang paling lama di Asia. Kini Encik Muhajir lebih dikenali dengan nama Muhajir Al-Fairusy.
Selain itu, beliau juga telah menerbitkan beberapa buah buku antaranya buku tentang Dayoh Tanoh Abee. Beliau juga menjadi juruedit di tempat ayah bekerja.

Pertemuan pertama kami dengan Encik Muhajir


“Wahhhhh..Hebat juga Encik Muhajir ni. Bukan calang-calang orang.” Bisik hati aku.

Aku tak dapat bayangkan yang membawa kami pusing keliling Banda Aceh ini adalah seorang pensyarah. Agak-agak pensyarah di Malaysia ada yang macam ini tak?

Encik Muhajir menceritakan kepada kami Sejarah Kegemilangan Islam di Banda Aceh ketika zaman Sultan Iskandar Muda.


Dalam kajian tentang Sultan Iskandar Muda, atau lebih dikenali sebagai Sultan Iskandar Meukuta Alam merupakan pemerintah yang dikenali dengan ketegasannya serta kehebatannya dalam menjalankan hukum-hukum Islam walaupun terhadap anggota keluarga baginda sendiri. Maklumat yang diperoleh daripada Ayah menyatakan bahawa Baginda juga masyhur dengan nama Peurkasa Alam kerana keberanian yang dimiliki oleh baginda dalam menegakkan kebenaran dan gelaran ini diberikan oleh sahabat-sahabat baginda ketika baginda dewasa.

Masa kecil baginda lebih banyak dihabiskan dalam lingkungan istana dan baginda masyhur dengan nama Raja Zainal atau Raja Silan manakala semasa bayi baginda sering disebut Tun Pangkat Darma Wangsa, (Zainuddin: 1957, 21). Sultan Iskandar Muda diputerakan pada tahun 1953 di Banda Aceh. Baginda memerintah selama 29 tahun dan telah menempa pelbagai kejayaan dalam perluasan kuasa dan hubungan antarabangsa.



Temuramah bersama ayah berlanjutan sehingga ke salasilah Sultan Iskandar Muda.

“Sultan Iskandar Muda dilahirkan pada tahun 1593 di Aceh dan wafat pada tanggal 27 Disember 1636. Baginda berasal daripada keturunan Raja Darul-Kamal bagi sebelah ibundanya dan Raja Mahkota Alam daripada sebelah ayahandanya. Ibunda baginda bernama  Puteri Raja Indra Bangsa atau lebih masyhur dengan nama Paduka Syah Alam manakala ayahanda baginda bernama Sultan Mansur Syah cucu kepada Sultan Alauddin Riayat Shah Al-Qahhar. Sultan Alauddin Riayat Shah Al-Qahhar merupakan salah seorang pemerintah yang tegas dalam melaksanakan perintah Allah walaupun terhadap anggota keluarganya sendiri. Makam Sultan Iskandar Muda terletak di Kompleks Kandang Mas tetapi dihancurkan oleh Belanda dan makam sekarang hanyalah duplikat hasil petunjuk Pocut Meurah, isteri kepada Sultan Mahmudsyah yang sering berziarah ke makam Sultan Iskandar Muda ini.” Terang ayah dengan panjang lebar.


Loceng yang dihadiahkan oleh Cheng Ho untuk Sultan Iskandar Muda yang masih terdapat di Muzium Aceh.






Makam Sultan Iskandar Muda

Maklumat yang kami peroleh menceritakan bahawa Sultan Iskandar Muda lebih banyak meluangkan masa di dalam istana di mana pendidikan baginda sangat di titik beratkan agar mendapat pendidikan yang sempurna dan yang terbaik. Sejak usia antara 4-5 tahun baginda telah diajarkan berbagai ilmu pengetahuan. Ketika usianya mencapai baligh, ayahandanya menyerahkannya kepada Teungku Di Bitai (ulama turunan Arab dari Baitul Mukadis) dan diberi gelar Tun Pangkat Peurkasa Syah (Zainuddin, 1957: 27) agar menerima ilmu dengan sempurna.

Kemudian baginda menerima pendidikan daripada ulama-ulama dari Mekah antaranya Syekh Abdul Khair Ibnu Hajar dan Sekh Muhammad Jamani yang merupakan ahli dalam bidang ilmu fiqh, tasawuf dan ilmu falak. Seterusnya baginda menerima pendidikan daripada seorang ulama yang masyhur berasal dari Gujarat iaitu Syeikh Muhammad Djailani bin Hassan Ar-Raniry. Ketiga-tiga ulama ini mempunyai jasa yang sangat besar terhadap pendidikan Sultan Iskandar Muda selain mempengaruhi cara pemikiran baginda.

Berdasarkan kajian yang telah dijalankan di Banda Aceh, pada tahun 881H, Sultan Salahuddin Syamsu Syah Meukuta Alam telah mengisytiharkan bahawa Aceh adalah kerajaan Islam iaitu sebuah negara yang menegakkan Islam. Hukum syar’ie merupakan tanda aras bagi segala adat yang diberi kebenaran untuk dilaksanakan di Aceh. Segala adat, seni dan budaya masyarakat Aceh harus disesuaikan  dengan syariat Islam. Adat-adat masyarakat Aceh yang seiring dengan hukum syar’ie dikekalkan tetapi bagi adat yang tidak mengikut syar’ie Islam wajib diubah menjadi selari dengan yang dibenarkan syar’ie.

Kesemua Kerajaan Kesultanan Aceh disatukan oleh Sultan Johan Ali Ibrahim Mughayat Shah atau Sultan Ali Mughayat Shah menjadi kerajaan Aceh Darussalam pada tahun 913H iaitu Kesultanan Islam Peureulak, Kesultanan Islam Samudera Pase, Kerajaan Islam Meukuta Alam Banda Aceh atau Kerajaan Islam Linge, Kesultanan Islam Pidie, Kerajaan Darul Imarah Darul Kamal, Kerajaan Islam Banua Tamiang dan Kerajaan Islam Jaya. Madinatul Sultan Banda Aceh (sekarang Banda Aceh) merupakan pusat pentadbiran kerajaan Aceh Darussalam. Sultan Mughayat  Shah putera Sultan Salahuddin Syamsu Shah Meukuta Alam (881H) diangkat menjadi Putera Mahkota merangkap Panglima Perang Islam dan baginda juga merupakan ahli strategi.

            Sultan Alauddin Riayatshah Al-Kahar (datuk Sultan Iskandar Muda dari pihak ibunya) beliau mengundang 70 ulama untuk menyusun sebuah Qanun Pemerintahan Islam di Aceh yang disebut Qanun Syara’ Al-Asyi. Beliau memperkuat angkatan laut, darat dan mengalahkan angkatan laut Portugis yang datang menyerang Aceh dan beliau memperoleh kemenangan.

 
 Salasilah keluarga Sultan Iskandar Muda

Puteri Gayo merupakan salah seorang isteri kepada baginda Sultan Iskandar Muda. Hasil daripada perkahwinan, baginda dikurniakan seorang putera yang lebih masyhur dengan nama Meurah Pupok. Dalam bahasa Gayo, “Meurah” bermaksud marah dan gaya kalimah ini diguna pakai bagi gelaran Raja-Raja Aceh sebelum kedatangan Islam.

            Seterusnya, baginda juga telah menikahi seorang puteri yang berasal dari Ribee, Pidee, Aceh yang dikenali sebagai Puteri Thani. Hasil daripada perkahwinan ini mereka dikurniakan seorang puteri yang akhirnya menjadi salah seorang Sultanah Aceh iaitu Sultanah Sri Ratu Safiatuddin Tajul Alam. Sultanah Safiatuddin telah berkahwin dengan seorang anak kepada Sultan Ahmad Syah daripada Kesultanan Pahang, Tanah Melayu, yang diberi nama Sultan Iskandar Thani II.

            Putroe Phang atau Puteri Pahang juga merupakan salah seorang isteri kepada Sultan Iskandar Muda yang dikenali ramai kerana mendalamnya cinta dan kasih sultan kepada Puteri Pahang ini. Putroe Phang ini berasal daripada Kesultanan Pahang dan ada yang mengatakan bahawa puteri ini merupakan adik kepada Sultan Ahmad Syah, Pahang. Nama sebenar puteri ini adalah Puteri Kamaliah. Bukti cinta baginda Sultan Iskandar Muda dapat dilihat pada pembinaan Gunongan. Gunongan ini dibina untuk merawat kesedihan puteri yang terlalu rindukan kampung halamannya yang berbukit-bukau. 

            Menurut sumber daripada Drs. Tgk. H.A. Rahman Kaoy, Sultan Iskandar Muda mempunyai empat orang isteri. Isterinya yang pertama bernama Puteri Thani Ratna , iaitu anak kepada Tgk Syeikh Mohd Amin Rebey atau nama sebenarnya Daeng Mansor (Makassar). Hasil perkahwinan tersebut maka lahirlah Meurah Pupok dan Sultanah Sri Maharaja Puteri Sri atau lebih dikenali sebagai Ratu Safiatuddin Syah Tajul Alam. Seterusnya,  isteri kedua beliau ialah Puteri Pahang atau lebih dikenali di Aceh sebagai Putroe Phang. Sekembalinya Sultan Iskandar Muda ke Aceh setelah menikahi Putroe Phang, beliau juga telah mengambil Sultan Iskandar Thani sebagai anak angkatnya. Sultan Iskandar Thani merupakan anak kepada Sultan Ahmad Syah, iaitu Sultan Perak.  Hasil perkahwinan beliau dengan isteri ketiga ,Puteri Asiah mereka  dianugerahkan dengan dua cahaya mata, Malik Abd Jalil dan Raja Asahan ,Tg Baley (raja di Asahan).  Puteri Gayo pula isteri baginda sultan yang ke empat dan tidak dikurniakan cahaya mata.

            Sultan Iskandar Muda menaiki takhta pada awal April tahun 1607 M (keterangan Bustanus Salatin). Baginda telah melaksanakan pelbagai usaha dan tindakan dalam mengekalkan kekuasaannya. Antara usaha yang dilaksanakan adalah dengan membentuk angkatan perang yang terdiri daripada tenaga-tenaga muda yang sentiasa memberi sokongan yang luar biasa dan melaksanakan penataan pemerintah melalui pembahagian wilayah yang disebut mukim dan membuat Peraturan Perekonomian Negara. Lembaga Negara juga ditubuhkan semasa pemerintahan baginda bagi membantu menyelesaikan masalah-masalah ekonomi dengan lebih efisien. Semasa pemerintahan Sultan Iskandar Muda, ekonomi kerajaan Aceh menjadi lebih kukuh dan stabil dengan produk-produk hasil bumi seperti emas dan lada yang menjadi rebutan orang-orang Eropah.

            Sultan Iskandar Muda merupakan seorang pemerintah yang sangat tegas dalam melaksanakan hukum-hukum agama. Oleh sebab ketegasan baginda, berlaku banyak pemberontakan selepas mangkatnya baginda. Antara bukti yang dapat dilihat bagi membuktikan ketegasan baginda adalah melalui peristiwa Meurah Pupok iaitu anak baginda yang telah dijatuhkan hukuman hudud oleh baginda sendiri di atas kesalahan berzina dengan isteri salah seorang pengawal istana. Pelbagai usaha dan cadangan yang telah diberikan oleh pihak istana kepada Sultan Iskandar Muda bagi meringankan hukumannya tetapi baginda tetap melaksanakan hukuman hudud tersebut. “Mate Aneuk Meupat Jirat, Gadoh Adat Pat Tamita” merupakan ungkapan yang terpahat di makam allahyarham Meurah Pupok yang bermaksud “Mati Anak Boleh Dicari Kuburnya, Tetapi Mati Adat Di mana Lagi Mahu Dicari”. Kata-kata ini sangat masyhur di mana perkataan “adat” bermaksud adat-adat Islam yang dihidupkan di bumi Aceh Darussalam.

            Dari segi hubungan dengan kerajaan-kerajaan luar, sultan telah menjalinkan hubungan diplomasi perdagangan dengan China dan Turki sehingga Aceh menjadi sebuah kerajaan yang makmur. Antara bukti yang dapat dilihat hubungan erat antara Aceh dan China adalah melalui kehadiran kapal-kapal China di Aceh yang menjadikan Aceh sebagai pelabuhan masuk rempah ratus. Selain itu, Loceng Cakra Donya yang dihadiahkan oleh Kaisar Cina juga menjadi bukti hubungan erat antara Aceh dan China. Hubungan antara kerajaan Aceh dan Turki dapat dibuktikan melalui surat yang ditulis oleh Kadi Malikul Adil Syekh Nuruddin Ar-Raniry kepada kerajaan Turki yang disampaikan oleh utusan rombongan Aceh yang dikepalai oleh Panglima Nyak Dum.



            Kepimpinan Sultan Iskandar Muda dikagumi dan diakui kehebatannya bukan sahaja oleh rakyatnya malahan diakui sendiri oleh musuh-musuhnya dan bangsa asing di seluruh dunia. Pemerintahan baginda yang sistematik, teratur serta hubungan baik antara sultan dengan rakyat menjadi faktor mustahak yang menjadikan Kerajaan Aceh menjadi sebuah kerajaan yang agung dan digeruni oleh musuh-musuh Islam serta diangkat menjadi salah satu kerajaan Islam terbesar di dunia.

            Melalui kajian menjejaki sejarah kegemilangan Islam di Banda Aceh yang telah dilaksanakan baru-baru ini, Sultan Iskandar Muda merupakan Sultan kepada Aceh Darussalam yang ke 37. Beliau memerintah Aceh Darussalam dari tahun 1607M hingga 1636M. Beliau merupakan negarawan terkenal yang membawa Aceh ke puncak kejayaan Islam juga telah membuat Qanun Meukuta Alam menjadi Undang-Undang dan Pedoman para pemimpin dan rakyat Aceh Darussalam.

            Bagi Qanun Syarak Al-Asyi yang telah ditulis dan disiapkan pada masa Sultan Alauddin Riayatshah kemudian disempurnakan oleh Sultan Iskandar Muda sekitar tahun 1016H-1608M telah menjadi qanun Meukuta Alam. Dua Qanun bersejarah inilah menjadikan Aceh antara 5 negara Islam terbesar di dunia. Semboyang yang terkenalnya adalah “Aceh Darussalam adalah negeri hukum yang mutlak sah, dan rakyat bukanlah patung yang berdiri ditengah pedang, akan tetapi rakyat seperti pedang sembilan mata lagi besar matanya, yang amat tajam, lagi panjang ke timur dan ke barat”.

Setelah mendapat maklumat tentang Sultan Iskandar Muda, kami segera mengumpulkan segala bukti yang dapat dibuat rujukan untuk di bawa pulang ke Malaysia. Sebelum terjadinya Thunami besar yang melanda Aceh pada tahun 2004, segala bahan sejarah masih tersimpan di tanah Aceh. Maka, bahan yang kami dapat untuk kali ini mungkin tidak selengkap yang terdapat di Banda Aceh itu sendiri. Banyak bahan-bahan sejarah, manuskrip-manuskrip, kitab-kitab Melayu lama yang di bawa arus Thunami ketika itu. Ramai yang terkesan dengan peristiwa tersebut dan apabila kami menyoal beberapa soalan tentang bahan sejarah, mereka lebih merujuk kepada Thunami yang melanda di bumi Aceh. Kami menyimpulkan yang sejarah berlakunya Thunami lebih memberi kesan daripada sejarah Sultan Iskandar Muda itu sendiri kerana peristiwa itu masih baru bagi mereka.