salam sayang dan rindu dari saya

Sunday, 4 September 2016

Permulaan sebuah Kisah : DG Tembila - 1) Peti Harta Karun

Perjalananku penuh rintangan…tak ku nafikan…

Perasaan berdebar semakin menghantui diriku. Mengenangkan misi yang akan dilaksanakan di perantauan. Misi pertama yang digalas sebagai seorang perantau kerana pertama kali membuat kajian pada bulan Ramadhan. Umpama satu misi dakwah yang paling mencabar  yang pernah aku bawa. Ketika ini umat Islam sedang menjalani ibadah puasa di Malaysia bersama orang-orang tersayang. Aku bersama seorang kawan yang juga ditugaskan untuk melaksanakan misi ini dengan sebulat suara, sekuat hati, seribu perasaan keluar meninggalkan kampung halaman masing-masing bagi menyelesaikan tugas yang tergendala sebelum ini. Misi yang diharapkan dapat menjadi sumber rujukan buat generasi akan datang. Meskipun terpaksa meninggalkan keluarga, kami tetap dengan tujuan asal kami iaitu menjejaki Sejarah Kegemilangan Islam di Banda Aceh dengan mencari sumber rujukan dari beberapa orang tokoh terkemuka di Banda Aceh. Antara tokoh yang menjadi bahan kajian kami adalah Sultan Iskandar Muda dan Syeikh Abdurrauf Singkil.

Bukan senang nak senang,
Kata orang-orang tua,
Nak susah senang.

Bagi menjayakan misi rahmatallila’lamin ini, pelbagai usaha dalam pengumpulan dana dilakukan oleh semua ahli DG Tembila. Antaranya adalah dengan memohon sumbangan dari badan-badan kerajaan, menjual kek batik dan air koktel, serta sumbangan dari orang ramai. Walaupun ada antara usaha kami yang dipandang sebelah mata oleh beberapa orang ahli yang lain, tapi ini tidak mematahkan semangat kami dalam melaksanakan misi ini. Perasaan sedih tatkala mengenangkan wang untuk ke sana tidak mencukupi. Masa inilah kita akan teringatkan Tuhan.

“Ya Allah, tolonglah hamba-Mu ini, pertolongan dari-Mu yang kuharapkan”.

Pergantungan dari Allah mula terasa. Padahal sebelum ni, buat endah tak endah je kerja yang nak di buat. Bila dah terdesak, hati mula cari pertolongan dari yang Maha Esa. Aku fikir ini suatu yang bagus, selalu ingat Tuhan walau dimana pun kita berada. Kelopak mata mula bergenangan, terasa butir-butir halus bak mutiara membasahi pipi.

“Di mana harusku tuju untuk mendapatkan wang? Kalau pinjam kat kawan, mesti tak semua akan bagi sebab semuanya masih belajar, duit memang tak akan cukup. Usaha lain mesti di buat.” Gumam aku di dalam hati.

Alhamdulillah, dua minggu sebelum berangkat, aku mendapat berita gembira dari abahku. Katanya ADUN Selama, di tempat tinggalku meluluskan permohonan dengan meletakkan sumbangan tersebut di bawah Yayasan Perak. Berita gembira ini disambut dengan penuh kesyukuran antara ahli Diskusi Grup (DG).

Dikau hadir di kala aku  memerlukan seorang teman,
Dikau bawa secebis bahagia bila aku hampir berputus asa.
Kau bawa sinar cahaya di hariku yang gelita,
Dan dikau hadir tepati waktunya membawa tawa ceria.

Teringat aku seminggu sebelum berangkat ke Gombak. Aku termenung sendirian. Melihat barang-barang dan pakaian yang hendak di bawa ke Aceh nanti. Satu persoalan yang bermain difikiran ketika ini.

“Macam mana aku nak dapatkan alatan media ek? Kamera tak ada. Kamera telefon tak cantik sangat ni. Gambar tak berapa jelas. Rugi lah kalau ke sana tak dapat gambar yang bagus-bagus.”Aku mengomel sendirian.

Dalam sibuk mencari ilham dan berharap keajaiban berlaku, aku terfikir untuk menggunakan duit simpanan aku yang memang aku simpan dari zaman kecilku dulu.Tak pernah aku berani sentuh duit yang aku simpan tersebut.Tiba-tiba aku terasa untuk melihat dan mengira jumlah yang aku simpan dahulu. Diam-diam aku beranikan diri untuk mendekati kotak harta karunku yang aku jangka telah menjangkau sembilan tahun lamanya tanpa di ganggu.

“Hari ini aku akan kira kau, wahai duit zaman kecilku.”
Sambil aku tersenyum sendirian. Niat nak menggunakan duit simpanan tersebut semakin memuncak. 

Dengan penuh berhati-hati, aku menutup pintu bilikku dan menuangkan duit tersebut perlahan-lahan di atas katil. Memandangkan tilam atas katilku ini terlalu lembut, aku pun mengumpul kembali dan membawa wang tersebut ke bawah dan mengiranya di atas lantai bilikku.

Tiba-tiba pintu bilikku ditolak. Mak aku datang dan tersenyum melihat gelagatku yang masih terkejut dengan kehadirannya itu. Aku mengeluh sendirian.

“Ish...Mak ni, kakak ingat siapalah tadi. Masuk bilik akak, ketuk la pintu dulu, main terjah je.”Aku membebel sendirian. Mak aku terus masuk dan duduk bersila di atas lantai bilikku dengan membawa tauge yang belum di asingkan kepalanya.

“Awat mak bawa benda ni masuk bilik akak? Buat kat dapur la, nanti habis berselerak kat lantai.”Kataku.

Tanpa menghiraukan aku, ibuku terus membalas kata-kataku tadi.

“Hang tu asyik duk dalam bilik ja, cuba keluaq sama. Mak boring la duk sorang-sorang kat dapuq”. Tergelak besar aku bila ibuku cakap yang dia boring duk kat dapur. Nak dijadikan cerita, dia membawa tauge yang belum disiang ke dalam bilik aku. Jadi aku teruskan dengan misi mengira duitku tadi. Melihat keadaan aku yang tekun mengumpul semua duit syiling yang terselit di merata tempat di bilikku itu, ibuku bersuara.

“Nak buat apa duit ni?”

“Akak nak kira cukup ke tak nak beli kamera. Nak pergi Aceh tak dak kamera nak tangkap gambaq. Kamera telefon tak jelas.”Jawabku penuh semangat. Berharap ibuku tidak menghalang niat ku itu.

“Cukup tak? Nak guna berapa lagi?” soal ibuku.

“Tak cukup lagi kalau tengok jumlah ni, tapi tengok lah macam mana nanti.” Jawabku acuh tak acuh.

Aku telah nekad untuk menggunakan duit tersebut sebagai duit pertama untuk membeli kamera. Perasaan sedih bermain di benakku. Tapi memandangkan keadaan mendesak, aku terpaksa menggunakannya juga. Demi kebaikanku dan generasi akan datang.

Keesokan harinya, aku bersama ibuku telah ke kedai Photo Film di pekan tempat tinggalku. Aku cuba survey harga kamera yang dijual di setiap kedai. Nampaknya ada satu kedai yang menarik perhatianku. Aku membelek semua kamera yang aku berkenan. DCLR menjadi tumpuanku. Memandangkan duit hanya bawah RM500 sahaja, jadi aku mencari yang sepadan dengan duit yang aku bawa. Lebih tiga puluh minit aku melihat kamera di situ, aku bercadang untuk membeli satu yang aku rasa sesuai dengan duit yang aku ada. Ibuku berharap yang beliau dapat menambah sedikit wang kepadaku. Tetapi aku menolak dengan baik.

“Tak apa mak, nanti akak ada duit akak beli yang tu.” Kataku sambil tanganku menunjuk pada kamera DCLR yang masih dalam almari kaca.

Selepas mencuba  dan diajar untuk menggunakan kamera tersebut, aku bercadang untuk terus membelinya. Dengan hati yang berbunga, aku pulang tanpa menunjukkan kamera tersebut kepada sesiapa. Hanya aku dan ibuku sahaja yang mengetahui rahsia tersebut. Bukan nak menipu, tapi nanti jadi riuh rendah sebab kamera punya pasal.

Pada malamnya, aku telah membuat senarai barang yang harus dibawa supaya aku tidak ketinggalan dalam membuat persiapan terakhir. Semuanya telah disediakan. Passport pun dah masukkan ke dalam beg. Ubat-ubatan telah siap dimasukkan. Persiapan untuk temu ramah pun telah di print.

Pada hari untuk berangkat ke Gombak, Abah dan Ibuku serta Adikku, Ikmal telah ikut serta dalam menghantar aku ke stesen bas Kamunting, Taiping. Maklumlah anak sulong nak ke negara orang, apa-apa pun boleh berlaku. Sebagai sokongan moral, abah dan ibuku tak henti-henti memberikan nasihat. Aku terima dengan penuh kesyahduan. Puasa tahun ni di perantauan. Entah apa pengalaman yang terbaru akan aku bawa pulang kelak.

Perjalanan ke Kuala Lumpur memakan masa selama 5 jam. Aku yang mempunyai “sick motion” berdoa supaya tiada apa yang terjadi sepanjang ke sana. Kalau aku termuntah dalam bas, dah semestinya aku perlu cari air. Kalau cari air, puasa aku batal. Tak sanggup nak mengganti lagi.

Bas yang dinaiki berhenti di Shell Tol Duta. Aku segera membawa beg dan bagasiku ke surau yang berdekatan. Tujuannya nak solat jamak Zohor-Asar. Aku telah memaklumkan ketibaan aku pada Abang Hakim, merangkap pengerusi GPTD. Jadi sementara menunggu Abang Hakim tiba, aku segera menunaikan solat fardhu.

Abang Hakim tiba bersama kereta kancilnya. Aku tak pasti kereta tu siapa yang punya. Kami segera ke Pejabat Lantai Tiga GPTD. Tiba di sana, aku lihat Khadijah masih dibuai mimpi. Penat lagi agaknya. Tak pun bosan tinggal seorang, jadi dia tidur. Aku tertawa sendirian.

Dalam diam aku mendekatkan diriku pada telinga Dijah. Berharap nak buat kejutan. Memang terkejut juga dia, sambil senyum dia tengok aku dah terpacak kat sebelah.

Pertama kali sampai di Lantai Tiga GPTD, aku memutarkan pandangan ke sekeliling pejabat mereka. Tempat yang kecil tapi rasa damai di jiwa. Ada beberapa rak buku yang disusun dengan pelbagai jenis buku di situ. Salah satu buku yang mendapat perhatian aku adalah komik Detektif Conan.

“Apasal boleh ada komik dekat sini?Diorang baca komik juga ke?” Terdetik seketika di dalam hati.

Pelbagai persoalan bermain di minda ketika itu. Jadi aku simpulkan yang diorang juga pernah melalui zaman remaja. Bagi aku perkara biasa kalau lelaki baca komik. Aku pun layan komik, inikan pula lelaki. Dijah tersenyum melihat aku yang penuh teruja dengan komik-komik di rak tersebut. Katanya, dia memang dah agak reaksi aku kalau aku ternampak komik tersebut. Sebab dia dah nampak masa tinggal bersendirian di dalam bilik berhawa dingin itu.

Setelah berbincang dengan Khadijah tentang misi yang akan dijalankan, kami berdua membuat senarai semula tentang perancangan yang hendak dibuat ketika tiba di sana nanti. Kami menyemak semula alatan dan segala kelengkapan yang perlu di bawa dan berharap tidak ada yang ketinggalan kelak. Kami berharap tujuan asal kami tidak menyimpang ke tempat lain.

Selama dua hari berada di GPTD Pusat, kami telah membuat pembentangan terakhir di hadapan Abang Hakim, Abang Huzaifah dan Abang Azim. Banyak persoalan yang di tanya. Alhamdulillah, persedian ke arah itu telah dibuat. Hati semakin berdebar-debar menunggu hari berangkat ke Banda Aceh.

Barang siap di kemas. Kami akan bertolak ke KLIA 2 pada jam 5 pagi. Selesai bersahur kami terus berangkat dengan menaiki van GPTD.

“Our missions start here!!!” Kataku di dalam hati.



No comments: